KOTA KINABALU - Sebanyak 223 kad fleet telah disekat selepas dikesan berlaku penyalahgunaan dalam mendapatkan diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, di bawah pelaksanaan semasa SKDS, sebanyak 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan layak menikmati subsidi diesel.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan terus memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan tegas bagi memastikan mekanisme penggunaan kad fleet dalam penyaluran subsidi bahan api sentiasa dipatuhi.
"Kerajaan akan terus memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan bagi mekanisme penggunaan fleet card dalam penyaluran subsidi bahan api melalui SKDS dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
"Ini termasuk memperkukuh kerangka perundangan berkaitan kawal selia barang kawalan bersubsidi. KPDN kini sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasaan penggunaan kad fleet.
"Antara lain, peraturan ini akan melibatkan aspek tanggungjawab pemegang kad fleet, syarikat minyak, selain menetapkan kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi," katanya pada sidang media sempena program Inspirasi Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan kewujudan pelbagai modus operandi membabitkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol melalui penyalahgunaan kad fleet.
"Sejak 2023 hingga 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah pelaksanaan SKDS dan SKPS telah disekat.
"KPDN akan terus memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan di peringkat lapangan dan mana-mana pihak yang menyalahgunakan fleet card bagi tujuan penyelewengan subsidi diesel dan petrol akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
