
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (gambar) daripada pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM), lima tahun lepas.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Rozman, ketika mengesahkan perkara itu berkata pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan kes pada 26 Jun lepas.
“Berdasarkan peruntukan Seksyen 307(1) Kanun Tatacara Jenayah, tempoh 14 hari itu berakhir pada 10 Julai lepas untuk pihak pendakwaan memfailkan rayuan tersebut,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Hakim Rozina Ayob telah melepas dan membebaskan Rozman daripada pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Rozman, 59, yang juga Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan, didakwa telah menggunakan kedudukan sebagai pegawai badan awam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -Bernama
