Salah guna kuasa: Bekas pengurus Ladang Rakyat dijel sehari, denda RM22,143

LocalPolitics
26 May 2025 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shahrizal Ridzuan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM22,143 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana salah guna kuasa membekalkan kad SIM kepada pekerja ladang warga asing. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Bekas pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd dijatuhi hukuman penjara sehari serta denda RM22,143 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana menyalah guna kuasa bagi mendapatkan suapan lebih RM4,000.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrizal Ridzuan Ambak, 48, mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Shahrizal Ridzuan didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan membekalkan kad sim kepada 117 pekerja ladang warga India bernilai RM4,428.60 di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh dekat Kemaman antara Julai hingga September 2022.

Shahrizal Ridzuan, yang mempunyai kepentingan bagi urusan itu kerana ejen pembekalan kad sim berkenaan adalah anaknya, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Mahirah Mohd Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun. - Bernama