Salah guna wang, enggan bayar hutang, pelajar disiasat buat laporan palsu dirompak

24 Dec 2022 • 2:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PETALING JAYA: Seorang pelajar kolej swasta disiasat susulan membuat laporan palsu dirompak semata-mata mahu mengaburi salah guna wang simpanan diberi keluarga, selain alasan tidak mahu membayar wang dipinjam daripada rakan.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima laporan dibuat pelajar lelaki berumur 19 tahun itu dirompak oleh tiga lelaki menyebabkan kerugian berjumlah RM10,300, kira-kira 9.46 malam.

“Siasatan telah dijalankan dan mendapati laporan pengadu tentang kejadian rompak yang dibuat itu didapati adalah palsu dan kejadian yang dilaporkan adalah tidak berlaku.

“Suspek telah menyalahgunakan wang simpanannya yang diberi oleh keluarga dan alasan disamun juga digunakan untuk tidak membayar wang dipinjam daripada rakan suspek,” katanya menurut Kosmo.

Katanya, berhubung laporan dibuat suspek, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai penyiasat terhadap pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah disisi undang-undang yang mendatangkan bencana.

Fakhrudin berkata, suspek tidak ditahan, namun pihak polis dalam proses melengkapkan siasatan untuk pertuduhan suspek di mahkamah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat sebarang laporan palsu dan boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau denda yang boleh hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.