Salah Terjemah Titah Agong: MCMC Jalankan Siasatan Terhadap China Press

LocalPolitics
20 Jan 2026 • 2:43 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Semalam (19 Januari), Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar bertitah agar sebarang usul untuk mengiktiraf sistem pendidikan baharu perlu menerima Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.

Titah Sultan Ibrahim lagi, sistem pendidikan negara harus terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.

Bagaimanapun, timbul pula dakwaan bahawa akhbar harian berbahasa Mandarin, China Press melakukan kesilapan dalam menterjemah titah YDPA semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen itu.

MCMC Siasat Dakwaan China Press Salah Terjemah Titah Agong

Terbaharu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kini sedang menjalankan siasatan berhubung isu kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Agong.

Menurut Fahmi, siasatan terbabit dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu peruntukan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.

Tambah beliau, siasatan terbabit dijalankan ekoran aduan rasmi yang dibuat oleh orang awam.

“Sekiranya ada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Fahmi Mohon Orang Ramai Tidak Keluarkan Komen Berunsur Fitnah

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Majlis Media Malaysia, sebagai sebuah badan bebas memainkan peranan yang telah diperuntukkan.

Menurut Fahmi, langkah itu bertujuan bagi memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan bertanggungjawab dan tepat, serta menjadi platform pengawalseliaan kendiri bagi menangani aduan dan isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.

“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya melalui media sosial serta sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya, lapor Berita Harian.

Kesilapan terjemahan titah Seri Paduka Baginda itu dilaporkan berhubung isu Bahasa Melayu.

Firdaus Wong Dakwa China Press Papar Info Salah Tentang Titah Agong

Dakwaan kesilapan terjemahan ini didedahkan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong di laman Facebook miliknya. Dalam posting tersebut, Firdaus turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan tajuk utama (headline) yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Agong.

Firdaus mendakwa, tajuk utama asalnya adalah, “YDPA: Tidak Tahu Bahasa Melayu Jangan Duduk Malaysia.”

Dakwa Firdaus lagi, tajuk berkenaan di Facebook kemudiannya ditukar kepada, “YDPA: Tidak Terima Bahasa Melayu Jangan Duduk Malaysia.”

Tambahnya, tajuk utama tersebut ditukar selepas beliau menegur mereka secara terbuka tentang kesilapan berkenaan di dalam satu lagi hantarannya sebelum ini.

“China Press, saya ada persoalan kepada kalian. Jikalau tak bersalah, kenapa perlu tukar thumbnail? China Press telah menukar tajuk thumbnail mereka selepas saya mendedahkan kebiadaban dan provokasi mereka.

“Adakah mereka akan menukar thumbnail jika saya tidak mendedahkan kejahatan mereka dalam memilih perkataan?” dakwanya.

Firdaus Wong Buat Laporan Polis

Firdaus dalam satu posting berbeza pada malam tadi memaklumkan telah membuat laporan polis mengenai kes itu dan berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM mengambil tindakan undang-undang.