
KUALA LUMPUR - Kaedah pendedahan yang digunakan untuk membongkar ‘kartel’ rasuah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) nyata menimbulkan kebimbangan.
Seorang bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, pendedahan seumpama itu perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang, walaupun setiap salah laku perlu dibongkar untuk menghukum pesalah.
Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Haniff berkata, sejumlah besar bahan atau dokumen yang didedahkan dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Katanya, ia turut mengandungi maklumat peribadi sensitif seperti alamat kediaman.
“Pendedahan seperti ini adalah baik, tetapi caranya salah,” katanya, mengulas siri pendedahan oleh aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Chegubard yang juga ahli BERSATU sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan beberapa dokumen sulit berkaitan aktiviti kartel dalam angkatan tentera.
Mengulas lanjut Abdul Rahmat berkata, pendedahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah perlu dalam memastikan demokrasi negara kekal sihat, namun ia perlu diseiringkan dengan niat yang benar.
“Chegubard sepatutnya mematuhi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dengan melaporkan sebarang kebimbangan melalui saluran dalaman yang ditetapkan.
“Beliau sepatutnya menyalurkan laporan itu kepada pihak seperti jawatankuasa audit atau kepada agensi penguat kuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Anak kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar itu memberi amaran, tindakan mengambil undang-undang oleh tangan sendiri, walaupun atas alasan kepentingan awam, boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang negara.
“Kesalahan tetap kesalahan, walau apa juga alasannya,” katanya sambil menambah, vigilantisme tidak boleh dibenarkan hanya kerana ia menyasarkan salah laku yang didakwa berlaku.
Status Chegubard sebagai ahli parti politik juga jelas Abdul Rahmat lagi, berpotensi merumitkan keadaan.
“Beliau seorang ahli politik, dan ahli politik cenderung untuk meraih sokongan pengundi.
“Namun, vigilantisme tetap salah, begitu juga melanggar mana-mana undang-undang,” tambahnya.
Terdahulu, Chegubard menerusi beberapa sidang media mendakwa, wujud sebuah ‘kartel’ yang melibatkan pegawai kanan tentera dalam kegiatan rasuah.
Dakwanya, seorang pegawai kanan turut menerima rasuah bulanan melebihi RM50,000 melalui akaun bank peribadi dan ahli keluarganya.
Beliau turut mendakwa telah melihat dokumen yang menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengetahui kewujudan kartel berkenaan, namun gagal mengambil tindakan.
Bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak polis dan SPRM bagi menyokong semua dakwaan dibuat. - Getaran, 18 Januari 2026
