‘Salam’ punca Isa Samad dipenjara

LocalPolitics
10 Feb 2026 • 12:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Isa (kiri) hadir ke Mahkamah Persekutuan pada Selasa.

PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa menyatakan bahawa menyampaikan ‘salam’ melalui orang perantara merupakan amalan biasa dalam kalangan umat Islam, namun memberi makna berbeza dalam kes membabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan berkata demikian sebelum mengarahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dipenjara serta-merta berhubung sembilan kes rasuah berjumlah lebih RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Ketika membaca keputusan penghakiman selama 105 minit, Nordin berkata, salam yang disampaikan Mohd Isa kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel membawa maksud tersirat.

Menurutnya, terdapat bukti dalam bentuk komunikasi bahawa maksud mengirim salam oleh Mohd Isa selaku responden mempunyai konotasi tertentu.

Beliau berkata, berdasarkan fakta perbicaraan, Mohd Isa selaku responden meminta bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, menghubungi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) GAPSB, Ikhwan Zaidel.

Hakim itu berkata, responden meminta Muhammad Zahid, yang juga saksi pendakwaan ke-21 (SP21), mengirimkan salam dengan menyatakan, “Kau telefonlah, kirim salam, tanya khabar.”

Katanya, SP21 memahami arahan itu sebagai permintaan untuk menghubungi Ikhwan yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16) bagi bertanyakan mengenai dana politik.

Sementara itu, pembelaan berhujah bahawa responden menafikan sebarang penglibatan dalam kes suapan, tidak pernah menerima rasuah dan tidak mengetahui kewujudannya.

“Responden juga berpendapat bahawa SP21 sengaja mengaitkannya dalam kesalahan tersebut.

“Bagaimanapun, kami mendapati hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi bertindak tepat dengan menolak hujahan pembelaan bahawa SP21 menerima semua wang untuk kepentingan peribadi tanpa pengetahuan responden,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tiada bukti menunjukkan SP21 mengambil wang berkenaan dan adalah mustahil beliau akan menipu lebih RM3 juta untuk kegunaan sendiri.

Hakim itu berkata, SP16 pastinya akan mengetahui sekiranya wang berkenaan tidak diserahkan kepada responden.

Menurutnya, menyampaikan salam melalui perantara adalah perkara biasa, namun dalam konteks kes ini, mahkamah memutuskan bahawa komunikasi tersebut menunjukkan perbuatan suapan.

“Sebagai pegawai khas responden, adalah tidak munasabah untuk Muhammad Zahid meminta atau menuntut wang geran bagi kepentingan sendiri,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Beliau berkata, adalah mustahil Muhammad Zahid selaku perantara bertindak sesuka hati tanpa kebenaran Mohd Isa.

Tambahnya, terdapat bukti menunjukkan responden menggunakan perantara itu untuk meminta dana politik daripada seorang ahli perniagaan yang syarikatnya bakal memperoleh manfaat daripada kelulusan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Pada Selasa, Mohd Isa diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Persekutuan di sini atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel berkenaan.

Ini bermakna, bekas ahli politik berusia 77 tahun itu akan menyambut Ramadan dan Syawal di sebalik tirai besi.

Mengikut fakta kes, pada September 2013, GAPSB selaku pemilik MPHS menawarkan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), anak syarikat milik penuh Felda, untuk membeli hotel berkenaan pada harga RM200 juta.

Pada 26 Februari 2014, Lembaga Pengarah FICSB yang dipengerusikan oleh responden selepas mempertimbangkan tawaran tersebut menolaknya atas alasan transaksi itu tidak menguntungkan.

Saksi pendakwaan ke-15 (SP15), bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, menerima panggilan daripada responden yang mengarahkannya menyemak semula keputusan pembelian MPHS atas permintaan Perdana Menteri.

Responden kemudian mengarahkan SP15 meneruskan pengambilalihan MPHS bagi membantu aktiviti politik di Sarawak.