Salcon meterai perjanjian pembelian tenaga solar dengan HeveaBoard
zulfadli
23/11/2023 - 11:20
KUALA LUMPUR 23 Nov - Salcon Bhd mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Fortune Command Sdn Bhd (FCSB), melalui cabang tenaga boleh diperbaharui (RE), Inergist Sdn Bhd memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Suria (SPPA) dengan HeveaBoard Bhd.
Di bawah SPPA, FCSB akan bertanggungjawab untuk memasang sistem solar fotovoltaik (PV) dengan jumlah kapasiti 862.5 kWp di atas bumbung pembuatan papan partikel HeveaBoard di Gemas, Negeri Sembilan, untuk tempoh 25 tahun.
Sistem solar PV dijangka beroperasi sepenuhnya pada separuh pertama 2024, dengan sasaran menjana kira-kira 26.25 juta kWj tenaga bersih semasa tempoh operasi.
Ia bersamaan dengan menanam lebih 27,000 pokok atau mengurangkan purata pelepasan CO2 melebihi 680 tan setahun.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Salcon, Michael Leong berkata, pihaknya memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi menyampaikan kecemerlangan dan kualiti sambil terus maju dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, pihaknya teruja untuk sekali lagi bergabung tenaga dengan mereka sambil memperbaharui dedikasi untuk mengurangkan pelepasan karbon untuk masa depan yang mampan.
"Kami terus melabur untuk masa depan melalui cabang RE khusus kami, Inergist Sdn Bhd. Kami mencari kerjasama secara aktif dengan rakan kongsi yang berfikiran sama yang berkongsi visi untuk menyepadukan rumusan tenaga bersih ke dalam operasi mereka, menggalakkan kemampanan, dan menempa laluan yang lebih hijau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan HeveaBoard, Yoong Hau Chun berkata, menerusi pemasangan sistem solar PV terbaru itu, kumpulan akan mempunyai sejumlah lebih daripada 3MWp tenaga solar yang boleh diperbaharui.
"Antara semua inisiatif tenaga hijau yang dijalankan kumpulan, tenaga solar akan menjadi inisiatif hijau terbesar kumpulan dari segi penjimatan elektrik. Penggunaan tenaga suria bukan sahaja akan mengurangkan kos operasi kami, ia juga akan mengurangkan jejak karbon operasi perniagaan harian kami," katanya.
Projek itu akan dibangunkan di bawah skim Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0), yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Di bawah skim tersebut, sebarang lebihan tenaga yang dijana akan dieksport melalui Sistem Bekalan kepada Pengagihan Pemegang lesen, dan kredit akan diterima untuk mengimbangi sebahagian daripada pembayaran bil elektrik pengguna. - DagangNews.com

