
SAYA ingin menyuarakan pandangan berhubung isu salah laku yang pernah dikaitkan dengan pemimpin UMNO. Perkara itu sering dibangkitkan semula oleh sebahagian pemimpin PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), meskipun UMNO kini turut berada dalam kerajaan bersama parti-parti berkenaan.
Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa dukacita kerana kerjasama yang dibentuk sepatutnya menjadi ruang untuk semua pihak bergerak ke hadapan.
Jika PKR, Amanah dan DAP masih keberatan menerima UMNO disebabkan isu penyelewengan masa lalu, mengapa sokongan parti itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak ditolak sejak awal?
Dalam sebuah kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama pelbagai parti, setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk memelihara hubungan dan mengutamakan kepentingan rakyat. Kesilapan lalu boleh dijadikan pengajaran, manakala sebarang salah laku perlu ditangani melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
Pada masa sama, semua pihak wajar memberi ruang kepada usaha memperbaiki keadaan. Semangat kerjasama tidak akan berkembang jika isu lama terus diungkit sehingga menjejaskan hubungan antara rakan dalam kerajaan.
Sudah tiba masanya semua pihak mengetepikan perbezaan yang tidak membawa manfaat, saling menghormati dan membina masa hadapan negara dengan lebih harmoni.
Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama, apatah lagi kita berkongsi bangsa, agama dan tanggungjawab untuk memastikan negara terus aman serta sejahtera.
Kerajaan yang kukuh bukan hanya bergantung pada jumlah sokongan di Parlimen tetapi juga kematangan pemimpinnya dalam mengurus perbezaan dan mengekalkan kepercayaan antara satu sama lain. –UTUSAN
TEROPONG JAUH
Jerantut,
Pahang
The post Saling menghormati demi kestabilan negara appeared first on Utusan Malaysia.





