Salur sumbangan bantuan kemanusiaan Syria di bawah seliaan Wisma Putra, NADMA

15 Feb 2023 • 3:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia mengalu-alukan penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria.

Wisma Putra dalam suatu kenyataan pada Rabu berkata, pihak Kementerian telah mengadakan mesyuarat dengan wakil NGO dan syarikat untuk membincangkan tatacara penyaluran bantuan kemanusiaan ke Syria secara teratur dan selamat.

Pihak yang ingin menyumbangkan bantuan kemanusiaan diminta untuk menghantar barangan ke pusat pengumpulan di bawah seliaan NADMA dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) seperti keterangan berikut:

Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia

Alamat: Markas SMART, NADMA Malaysia, Jalan Pulau Meranti, 47120 Puchong, Selangor

Masa: 10 pagi – 9 malam

Operasi Tarikh: 15 & 16 Februari 2023 (Rabu & Khamis)

No. Telefon: 03-8064 2400

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia

Alamat : Lot PT54, Lengkok Belfield, off Jalan Wisma Putra, Kg Attap, 50460 Kuala Lumpur

Masa Operasi : 9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin - Jumaat, waktu operasi ialah waktu pejabat)

No. Telefon : 03-2142 8122 (bagi pemberian di luar waktu operasi sila hubungi nombor yang tertera).

Antara barang yang diperlukan adalah pek makanan kering yang sedia dimakan seperti biskut, makanan dalam tin, buah kurma, mi segera, bar snek, minuman 3 dalam 1 serta barang bukan makanan seperti beg tidur, tuala wanita, kanvas plastik & tali (khemah), lampu puncak (headlight) dengan bateri, lampu solar mudah alih, pemanas (palam C & palam F), pakaian dan keperluan bayi.

Para penyumbang dimohon untuk melabelkan kesemua item yang ingin didermakan dengan jelas, dibungkus dengan kemas ke dalam kotak atau pembungkus plastik sebelum penghantaran dibuat ke pusat pengumpulan.

Setiap sumbangan perlu diaku terima oleh pegawai NADMA dan PBSM yang bertugas di pusat pengumpulan terbabit untuk tujuan rekod. -Bernama