'Sama-sama berdoa Sri Pahang kekal Liga-M'

LocalFootball
20 Mar 2025 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zainal Abidin

BEKAS pemain dan pengendali Pahang, Datuk Zainal Abidin Hassan mengharapkan Sri Pahang dapat terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) di sebalik dakwaan bakal terkubur musim depan.

Menurutnya, jika keadaan tersebut berlaku, ia akan menjadi satu kerugian besar kepada bola sepak Malaysia apatah lagi Sri Pahang merupakan pasukan gergasi yang sarat dengan sejarah luar biasa dalam saingan liga.

"Memang kita tak nafikan ura-ura mengenai pasukan Sri Pahang tetapi, masih belum sah 100 peratus. Oleh itu, kita perlu memberi kepercayaan, keyakinan dan berdoa untuk pasukan Sri Pahang kekal.

"Sri Pahang juga adalah pasukan elit dan perlu berada dalam kancah bola sepak Malaysia. Jadi, sama-sama kita berdoa supaya mereka kekal dalam liga bola sepak kita," katanya.

Sri Pahang antara pasukan yang dilaporkan akan mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Malaysia musim depan selepas terpalit dengan beberapa masalah dalam kelab tersebut.

Selain pasukan Pantai Timur itu, Kedah Darul Aman FC juga didakwa akan turut mengikut jejak langkah Sri Pahang namun perkara itu telah dinafikan oleh pemilik kelab itu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang masih menyatakan hasrat untuk kekal dalam saingan liga.

Menurut Zainal Abidin, masih ada ruang untuk Sri Pahang dan Kedah menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi mereka sebelum tamat tempoh permohonan pelesenan kelab pada hujung bulan depan.

"Memang satu kerugian besar pasukan-pasukan elit seperti ini tidak ada kerana mereka diperlukan untuk memajukan bola sepak kita.

"Masih ada masa untuk sebarang perbincangan dan kita mahu mereka kekal dalam lingkaran bola sepak kita," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved