Saman fitnah: Muhyiddin sudah bayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Guan Eng

LocalPolitics
24 Jan 2025 • 3:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhyiddin (kiri), Guan Eng (kanan).

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melunaskan sepenuhnya ganti rugi RM1.35 juta kepada peguam bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung saman fitnah berkait isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Menurut portal The Edge, Ahli Parlimen Pagoh itu juga telah membayar RM50,000 sebagai kos yang juga diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Guan Eng.

Menurutnya, perkara tersebut disahkan peguam, Lim Guok Ngek Seong yang jumlah tersebut telah dibayar sepenuhnya pada Khamis dan dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firmanya.

"Ya, jumlah itu telah didepositkan sepenuhnya semalam," katanya.

Peguam Muhyiddin, Tetuan Chethan Jethwani & Co juga secara berasingan mengesahkan bahawa firma berkenaan telah mendepositkan jumlah itu kepada peguam Guan Eng sebagai pemegang kepentingan sementara menunggu rayuan.

"Mahkamah memerintahkan penangguhan dengan syarat jumlah itu disimpan pada akhir Januari," katanya.

Pada 16 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain membenarkan Muhyiddin menangguhkan pembayaran penuh dan mengarahkan Muhyiddin membayar RM400,000 kepada Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, menjelang akhir tahun dan baki RM1 juta sebelum 27 Januari.

Pada 9 Disember lalu, Guan Eng mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen Bagan itu selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu selaku penghutang penghakiman.

Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.

Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memohon untuk menggantungkan penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.

Muhyiddin berkata, disebabkan jumlah terlibat adalah besar, memerlukannya untuk mengumpul amaun berkenaan.

Pada 8 November lalu, Hakim, Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.