Saman pemula 10 Exco ditangguhkan, semua pihak dalam proses rundingan damai

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 1:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Saman pemula 10 Exco ditangguhkan, semua pihak dalam proses rundingan damai
Prosiding pendengaran saman pemula berhubung pembatalan pelantikan 10 bekas Exco di Mahkamah Tinggi Seremban yang sepatutnya berlangsung pada Isnin ditangguhkan pada 18 November ini.

SEREMBAN - Prosiding pendengaran saman pemula berhubung pembatalan pelantikan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Mahkamah Tinggi di sini yang sepatutnya berlangsung pada Isnin ditangguhkan pada 18 November ini.

Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan berkenaan selepas peguam, Datuk Hafarizam Harun yang mewakili 10 Exco memohon penangguhan bagi membolehkan rundingan penyelesaian secara damai dilakukan dengan pihak defenden.

Beliau menetapkan prosiding terbabit berlangsung menerusi sidang video pada jam 9 pagi.

Terdahulu, Hafarizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkembangan terbaharu itu selepas persetujuan bersama pihak defenden untuk cuba menyelesaikan perkara itu secara baik.

Ujarnya, ia juga susulan tindakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Exco terbabit menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 10 November lalu.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya prosiding berkenaan ditangguhkan bagi membolehkan kesemua pihak memuktamadkan terma penyelesaian, termasuk mendapatkan arahan serta persetujuan daripada anak guam masing-masing.

Katanya, perkara terbabit memerlukan penelitian serta perbincangan lanjut memandangkan ia turut melibatkan pihak istana.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan butiran cadangan penyelesaian berkenaan kerana rundingan masih berlangsung dan mencadangkan penangguhan singkat sehingga 19 November ini, bagi memberi ruang kepada pihak-pihak terlibat memuktamadkan rundingan penyelesaian berkenaan.

Peguam, Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, mengesahkan terdapat beberapa cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh pihak plaintif dan Menteri Besar.

Jelasnya, cadangan berkenaan sedang diteliti oleh pihak defendan termasuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Roz Mawar bagaimanapun menolak permohonan plaintif menangguhkan prosiding sehingga 19 November ini memandangkan kes berkenaan telah berlarutan selain pelbagai dokumen, hujahan serta rujukan undang-undang telah dikemukakan oleh pihak-pihak terlibat.

Beliau turut menegaskan prosiding mahkamah tidak seharusnya digunakan sebagai ruang untuk menekan mana-mana pihak atau memanjangkan pertikaian tanpa keperluan.

Untuk rekod, saman pemula itu difailkan 10 Exco pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.

Sepuluh Exco terbabit ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (ADUN Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong), Siow Kong Choon (ADUN Chennah) dan Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu).

Selain itu, Datuk Mohd Asna Amin(ADUN Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (ADUN Sungai Lui) Suhaimizan Bizar (ADUN Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (ADUN Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved