Saman PKR terhadap Zuraida keputusan tepat - Nik Nazmi

Politics
23 Jun 2023 • 6:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nik Nazmi ketika sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan saman terhadap bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin merupakan keputusan yang tepat.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, keputusan tersebut selaras dengan Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan baru-baru ini.

"Keputusan yang baik kerana kita luluskan Akta Anti Lompat Parti. Kita tolak amalan lompat parti.

"Jadi kita minta dia (Zuraida) bayar sahaja (denda)," katanya pada sidang akhbar pengumuman pelarasan tarif elektrik pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Tinggi membenarkan PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya itu berhubung isu perlanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.

PKR menerusi Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman tersebut pada September 2020.

Semasa perbicaraan, Saifuddin memberitahu mahkamah bahawa Zuraida menandatangani bon secara sukarela tanpa paksaan.

Bagaimanapun Zuraida mendakwa telah menurunkan tanda tangan di bawah paksaan tanpa diberikan pilihan sebenar, sehari sebelum pencalonan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.