
Pada tahun 2018, Suruhanjaya Eropah (European Commission) telah menyaman gergasi pembuat cip Qualcomm kerana dikatakan telah membayar Apple untuk menggunakan cip-cip modem mereka pada peranti-peranti iPhone dan juga iPad, menyukarkan syarikat-syarikat lain seperti Intel, Huawei dan sebagainya untuk menjual komponen-komponen mereka kepada syarikat tersebut.
Ia dilaporkan bahawa perkara ini berlaku dari 2011 ke 2016, dan Suruhanjaya Eropah telah menyaman Qualcomm untuk 999 juta Euro untuk kesalahan tersebut pada tahun 2018. Empat tahun kemudian, Mahkamah Am Kesatuan Eropah, iaitu mahkamah kedua tertinggi di rantau tersebut telah mengatakan bahawa Qualcomm didapati tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Mahkaman Am tersebut, Qualcomm dilepaskan tuduhan tersebut kerana pihak Suruhanjaya Eropah tidak berjaya mengumpulkan bukti mencukupi untuk mensabitkan kesalahan tersebut.

Tambahan kepada itu, Suruhanjaya tersebut dilihat menggunakan alasan penguasaan pasaran modem LTE yang dinikmati oleh Qualcomm di Eropah sahaja, walaupun Qualcomm dapat dilihat menyalahguna kelebihan mereka dalam penggunaan teknologi lain juga, seperti cipset Universal Mobile Telecommunications System.
Dalam pada itu, Mahkamah Am juga mendapati bahawa pada tahun-tahun tersebut, khususnya 2014 dan 2015, pasaran komponen tidak mempunyai pilihan alternatif kepada modem-modem yang dikeluarkan oleh Qualcomm, jadi samada sebarang bayaran dibuat oleh Qualcomm kepada Apple ataupun tidak. Apple masih lagi akan menggunakan modem tersebut pada peranti-peranti mereka.
Menurut laporan Reuters, Suruhanjaya Eropah akan menilai semula kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Am tersebut sebelum membuat rayuan di mahkamah tertinggi Eropah.

