Saman Sivil SRC: Najib Akui RM42 Juta Dalam Akaun Peribadi Tiada Kaitan Dengan Derma Arab Saudi

LocalPolitics
23 Jan 2026 • 10:30 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada Mei 2021, syarikat SRC International dan anak syarikat Gandingan Mentari telah memfailkan saman sivil terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuntut pengisytiharan bahawa beliau bertanggungjawab ke atas wang sejumlah RM42 juta.

Saman sivil itu turut menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.

Pada tahun lepas, peguam yang mewakili mereka berkata kedua-dua syarikat itu mahu wang itu dikembalikan selepas 10 tahun berada di dalam akaun peribadi Najib.

Najib Akui Wang RM4.2 Juta Dalam Akaun Peribadi Bukan Derma Arab Saudi

Semalam (22 Januari), Najib membuat pengakuan bahawa wang sejumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya bukanlah derma yang diterima dari Arab Saudi.

Pengakuan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam soal balas oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadapnya itu, lapor Berita Harian.

“Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah derma dari Arab Saudi,” kata Najib.

Kwan: Pada fikiran anda – jika saya boleh menggunakan perkataan itu – pada ketika ini, adakah RM42 juta itu tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi?

Najib: Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh kemudian, ya.

Mahkamah Tolak Pembelaan Najib Berhubung ‘Derma Arab Saudi’

Terdahulu, Kwan telah meminta Najib agar mengakui bahawa mahkamah telah menolak sepenuhnya pembelaan beliau berhubung ‘derma Arab Saudi’ dalam prosiding jenayah berkaitan.

“Pembelaan anda (derma Arab Saudi) telah ditolak di semua peringkat mahkamah (dalam kes jenayah SRC International). Betul?,” soal Kwan.

Sehubungan itu, Najib mengiyakan pertanyaan itu dan menjelaskan bahawa penolakan tersebut dibuat kerana beliau tidak berpeluang memberikan penjelasan penuh di Mahkamah Persekutuan.

“Sebab itulah dalam prosiding semakan, salah seorang hakim (seorang hakim kanan) bersetuju dengan pendirian kami. Dalam semakan itu, beliau memutuskan bahawa saya tidak mendapat perbicaraan yang adil,” katanya.

Najib Mengaku Tiada Bukti Dokumentari Untuk Sokong Pembelaannya

Tambah Kwan lagi, dapatan majoriti secara keseluruhannya telah mengekalkan kesimpulan bahawa dana tersebut bukan derma Arab Saudi.

Dalam masa sama, Najib mengakui bahawa Mahkamah Tinggi telah memutuskan tiada bukti dokumentari yang menyokong pembelaan beliau berhubung “derma Arab Saudi” dalam perbicaraan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung hari ini (23 Januari).

Sebagai info, SRC ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB pada 7 Januari 2011.

Namun setahun kemudiannya, iaitu pada Februari 2012, SRC dipindahkan kepada MOF Incorporated Sdn Bhd, sebuah badan korporat di bawah Menteri Kewangan Malaysia.