Sambungan elektrik haram ancam keselamatan anggota bomba

11 Jul 2026 • 3:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sambungan elektrik haram ancam keselamatan anggota bomba

Kota Kinabalu: Sabah Electricity (SE) digesa menjalankan pemeriksaan di kawasan yang disyaki mempunyai sambungan elektrik haram, khususnya di sekitar Taman Moonee, persimpangan jalan selepas kedai tayar serta jalan dekat kawasan tanah perkuburan di sini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas berkata beberapa sambungan elektrik haram didapati dipasang terus di atas permukaan tanah di kawasan berkenaan sekali gus mengundang risiko keselamatan yang serius kepada orang awam dan juga pasukan penyelamat.

Menurutnya, sambungan elektrik haram yang lazim ditemui di penempatan setinggan bukan sahaja melanggar peraturan bekalan elektrik malah boleh mengancam nyawa.

“Setiap kali anggota bomba menjalankan operasi memadam kebakaran rumput atau belukar, mereka perlu lebih berhati-hati kerana sentiasa berdepan risiko terpijak kabel elektrik hidup yang diletakkan di atas tanah.

“Dalam operasi memadam kebakaran rumput baru-baru ini, anggota kami menemui kabel elektrik yang dipasang terus di atas tanah. Bayangkan jika anggota bomba terpijak kabel hidup itu ketika sedang menjalankan tugas,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana anggota bomba berisiko terkena renjatan elektrik sekiranya kabel berkenaan masih mempunyai arus.

Menurutnya, kebanyakan sambungan haram itu menggunakan kabel bersaiz besar yang disambung secara tidak selamat dan hanya dibalut dengan plastik biasa sekali gus meningkatkan risiko renjatan elektrik.

“Ada kabel yang disambung itu hanya dibalut menggunakan plastik biasa, namun bahayanya tetap ada jika dipijak. Kami tidak mahu berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ketika anggota menjalankan operasi menyelamat dan memadam kebakaran,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada satu kejadian di Sandakan baru-baru ini yang menyaksikan seorang anggota bomba dilaporkan maut selepas terpijak kabel elektrik hidup ketika memadam kebakaran rumput.

“Kami tidak mahu tragedi seperti itu berulang. Tugas kami adalah memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa bukannya mempertaruhkan nyawa anggota akibat sambungan elektrik haram yang berbahaya,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan termasuk SE mengambil tindakan segera untuk mengesan dan menanggalkan sambungan elektrik haram bagi menjamin keselamatan penduduk serta anggota pasukan penyelamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved