Sambutan hangat nikah Siam balik hari

LocalSales & Promo
7 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sambutan hangat nikah Siam balik hari

PETALING JAYA – Kos serendah RM900 selain urusan akad nikah hanya sekitar tiga jam menjadikan pakej nikah balik hari antara perkhidmatan paling mendapat sambutan dalam kalangan pasangan Malaysia yang ingin berkahwin di Thailand.

Pemilik nikahdithailand.net dikenali sebagai Kak Wan berkata, pakej tersebut juga berjaya menarik pelbagai golongan termasuk dalam kalangan selebriti­ sejak dia mula menguruskan perkahwinan rakyat Malaysia di Thailand pada tahun 2014.

Menurutnya, pakej asas itu kini ditawarkan pada harga promosi RM900 berbanding harga asal RM1,500 khusus untuk warganegara Malaysia yang mahukan urusan perkahwinan lebih mudah dan pantas.

“Urusan nikah hanya mengambil masa kira-kira tiga jam. Bagaimanapun, pakej RM900 ini hanya melibatkan urusan nikah asas tanpa pengesahan di Konsulat Malaysia dan pasangan tidak boleh terus mendaftarkan perkahwinan tersebut di Malaysia.

“Mereka perlu daftar semula di konsulat untuk pakej balik hari ini di Songkhla,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, pakej itu lazimnya menjadi pilihan pasangan yang mempunyai kekangan masa dan tidak dapat menunggu ­proses pengesahan konsulat yang mengambil masa kira-kira tiga hari.

“Ramai yang memilih pakej balik hari kerana mereka tidak mempunyai masa untuk menunggu surat pengesahan konsulat siap,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan pakej nikah lengkap berserta urusan konsulat pada harga promosi RM1,700 berban­ding harga asal RM2,300.

“Pakej ini mengambil masa tiga hari dua malam. Selepas urusan konsulat selesai, pasangan boleh membuat pendaftaran perkahwinan sendiri di Malaysi,” katanya.

Bagi pasangan rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia yang mahu semua urusan diuruskan sehingga selesai, Kak Wan berkata, pakej lengkap turut disediakan pada harga promosi RM6,000 berbanding harga asal RM6,700.

“Melalui pakej ini, kami uruskan sekali proses pendaftaran perkahwinan di Malaysia termasuk kos berkaitan seperti denda, dengan urusan dibuat secara terus melalui pendaftar nikah,” katanya.

Menurut Kak Wan, pakej yang ditawarkan menerima sambutan menggalakkan daripada pasangan yang memilih untuk berkahwin di Thailand, namun ia bukan disebabkan trend tertentu.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan daripada rakyat kita yang berhajat melangsungkan perkahwinan ­dengan pasangan impian.

Image from: Sambutan hangat nikah Siam balik hari
Pelamin ringkas bagi tujuan bergambar turut disediakan untuk pasangan yang memilih pakej nikah Thailand.

“Bukan kerana trend, sebalik­nya setiap pasangan mempunyai keperluan dan situasi yang berbeza sehingga memilih pakej yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan yang menggunakan khidmatnya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan B40 hingga T20.

“Ramai golongan yang mendapatkan perkhidmatan kami termasuklah artis, selebriti dan individu kenamaan, tetapi perkara itu adalah sulit untuk saya kongsikan. Kak Wan tidak memilih dan sedia uruskan pelanggan daripada golongan B40 hinggalah ke T20,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap pasangan mempunyai alasan dan masalah yang berbeza sehingga memilih untuk melangsungkan perkahwinan di Thailand.

“Saya urus pelbagai jenis golongan dan mereka mempunyai bermacam-macam masalah. InsyaAllah Kak Wan akan bantu sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pasangan yang mendapatkan khidmatnya memasuki Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar atau Wang Kelian.

Beliau berkata, urusan pengesahan di Konsulat Malaysia di Songkhla perlu dilakukan sendiri oleh pasangan yang berkahwin dan tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana pihak atau dihantar melalui pos.

“Hanya pasangan yang bernikah dibenarkan memasuki pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla bagi melengkapkan proses tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menguruskan perkahwinan melalui pintu sempadan Kelantan dan Pengkalan Hulu, Perak/Betong kerana mahu memastikan setiap pasangan memperoleh dokumen perkahwinan yang lengkap bagi memudahkan pro­ses pendaftaran di Malaysia.

“Bila dokumen tidak lengkap, pasangan akan meng­hadapi masalah untuk ­mendaftarkan perkahwinan di Malaysia nanti,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pasangan supaya mematuhi semua prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, khusus­nya ketika urusan pengesahan di konsulat bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Beliau berkata, prosedur per­kahwinan di Thailand sentiasa berubah mengikut ketetapan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, setiap perubahan akan dimaklumkan ­lebih awal oleh pejabat agama dan pejabat Konsulat Malaysia bagi memudahkan semua pihak termasuk pengusaha pakej perkahwinan seperti beliau.

The post Sambutan hangat nikah Siam balik hari appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved