
SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang melabuhkan tirainya pada Ahad berjaya menarik penyertaan seramai 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung.
Ia juga berjaya menarik kehadiran pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah luar Lembah Klang dan Selangor, antaranya Negeri Sembilan serta Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa diterima daripada pengunjung dan sedia mempertimbangkan pengan-juran karnival seumpama itu sebagai acara tahunan.
Menurutnya, komitmen dan kerjasama daripada pempamer, agensi kerajaan dan semua pihak terlibat amat menyumbang kepada kejayaan karnival itu.
“Sebelum ini kita anjurkan Karnival Karangkraf dan kali terakhir pada 2018, namun kita jenamakan semula sebagai karnival pendidikan. Maksudnya selain berhibur, pengunjung memperoleh manfaat lain khususnya pelajar.
“Insya-ALLAH, konsep pendidikan untuk karnival akan datang diteruskan kerana kita lihat ia menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar sekolah, guru-guru dan juga ibu bapa.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan karnival ini termasuk para pempamer dan diharap mereka semua berpuas hati dengan kehadiran pengunjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Pendidikan Sinar Bestari di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Mohammad Nuri Hussin; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zambri Rambli serta Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari dianjurkan Sinar Bestari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
Bertemakan Memacu Pendidikan Generasi Digital, karnival tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Jumaat.
Penganjuran karnival tersebut bertujuan memupuk kesedaran khalayak terhadap dunia pendidikan yang kini menuju ke arah pendigitalan bertepatan dengan generasi hari ini dan sebagai langkah persediaan negara ke arah Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0).
Antara pempamer terlibat menerusi reruai ialah AirAsia Academy, Petrosains dan zoo mini Farm In The City, Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains, Les’ Copaque, AEON BiG Sdn Bhd (AEON BiG), Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional dan Co-opbank Pertama (CBP).
Selain itu, reruai Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Farm Fresh Selangor, Wardah dari Pharmacore Technology & Innovation, Able Perfect Sdn Bhd dan lain-lain turut dibuka sepanjang karnival.
