‘Sambutlah Trump Dengan Sederhana, Kenapa Perlu Berlebihan?’ - Dr MAZA

26 Oct 2025 • 6:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Sambutan diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas lawatannya ke Malaysia bermula hari ini seharusnya dibuat secara sederhana dan tidak keterlaluan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA berkata, sambutan penuh meriah diberikan kepada Trump pagi tadi tidak melambangkan bantahan atas sokongan beliau terhadap Zionis.

Katanya, Trump ketika ini adalah antara individu paling dibenci di seluruh dunia susulan isu Palestin.

“Saya tiada masalah untuk menyambut Trump sebagai seorang ketua negara yang hadir atas urusan diplomatik dan pentadbiran antara kerajaan. Sambut sekadarnya. Beliaulah di belakang kejahatan puak yang pernah disumpah menjadi kera dan khinzir. 

“Bayangkan jika Trump ke negara-negara Eropah di saat ini, tentu beliau disambut dengan bantahan rakyat di sana,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

image is not available
Mohd Asri Zainul Abidin - Gambar fail

Jelas Mohd Asri, beliau positif Trump akan hadir ke Eropah dengan wajah yang serius dan perasaan berbaur jika perlu mengadakan lawatan, kerana tahu dirinya dibenci ketika ini. 

“(Tapi) Di sini, beliau turun sambil menari kegembiraan kerana anak-anak Malaysia menyambut beliau dengan tarian. 

“Genoside dan segala bantuan senjata dan veto yang beliau gunakan untuk membolehkan itu semua berlaku bagai tiada kesan ke atas dirinya di negara-negara orang muslim. Menyedihkan,” katanya, kesal.

Trump, yang dilantik sebagai Presiden AS buat kali kedua tiba Trump, di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Air Force One pada jam 9.48 pagi tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menyambut ketibaan Trump ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Trump dan Anwar kemudiannya dilihat beredar dengan menaiki limosin presiden, The Beast, menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kedua mereka dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 yang pada jam 2 petang tadi.

Presiden AS itu juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Lawatan ini, yang berlangsung hingga esok adalah sempena peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di bawah pimpinan Anwar.

Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Asia Tenggara sejak kembali memegang jawatan presiden, dan lawatan ketiga oleh Presiden AS ke Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014. – Getaran, 26 Oktober 2025

View Original Article