Sampah haram cemar persekitaran Kg. Padang Air

LocalEnvironment
5 Nov 2026 • 8:47 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sampah haram cemar persekitaran Kg. Padang Air

KUALA NERUS: Perbuatan sesetengah pihak yang membuang sampah di lokasi tidak dibenarkan di Kampung Padang Air, Tepoh di sini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah menjejaskan pemanda­ngan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan berhampiran tali air itu menjadi lokasi pembuangan sampah apabila pelbagai sisa binaan turut dibuang di situ.

Seorang penduduk, Mohd. Abdullah, 57, berkata, kawasan itu sering menjadi pilihan pihak yang mengambil kesempatan membuang sampah kerana lokasinya yang terpencil.

Katanya, antara bahan bua­ngan yang ditinggalkan adalah sisa binaan dan pelbagai barangan yang sepatutnya dilupuskan di tapak pelupusan sampah.

“Tindakan ini tidak betul kerana mencemarkan persekitaran. Sepatutnya mereka membuang sampah di tapak pelupusan di Sungai Ikan tetapi tindakan ini menunjukkan masih ada pihak yang mengambil mudah soal kebersihan,” katanya di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyita kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi pembua­ngan sampah haram bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Menurutnya, tindakan itu bertujuan mengesan bukti me­lalui sampah yang dibuang bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukan kesalahan berkenaan.

Katanya, individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000.

Beliau berkata, alasan mem­buang sampah di tanah persendirian juga tidak boleh dijadikan justifikasi kerana pelupusan sampah hanya dibenarkan di lokasi yang diwartakan atau ditetapkan PBT.

Ia seperti pusat pengumpulan sampah (bin point) dan tapak pelupusan sampah.

“Walaupun di tanah per­sendirian, sampah tidak boleh dibuang atau dilupuskan sesuka hati kerana ia perlu dilakukan di tempat yang dibenarkan oleh PBT,” katanya.-UTUSAN.

The post Sampah haram cemar persekitaran Kg. Padang Air appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved