
SHAH ALAM, 4 OKT: Pemilik tanah persendirian di sekitar Kampung Seri Sentosa dan Kampung Harmoni, Kuala Selangor berdepan tindakan rampasan sekiranya gagal membayar kos pembersihan kawasan yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata kerja pembersihan akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kos berkenaan dituntut daripada pemilik tanah terbabit.
Katanya, notis 7A dan 8A telah diserahkan kepada pemilik beberapa bulan lalu, namun mereka gagal membersihkan serta memulihkan kawasan dalam tempoh ditetapkan.
“Masa telah diberikan tetapi pemilik gagal memulihkan dan membersihkan kawasan, jadi tindakan rampasan bakal dilakukan. Syarat tanah adalah kediaman tetapi pemilik gagal membina sebaliknya menjadikan tempat pelupusan sampah.

“Tempoh untuk bersihkan telah tamat dan Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk melakukannya. Sekiranya kerja pembersihan telah dilaksanakan, kita akan tuntut kos kepada tuan tanah dan jika gagal bayar tanah akan dirampas,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, pihaknya akan berbincang dengan Worldwide Holdings Berhad dan KDEB Waste Management bagi melaksanakan kerja pembersihan serta mengeluarkan sampah dari kawasan berkenaan.
Isu itu turut mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, khai_ridzuan, mempersoalkan keadaan sampah di kawasan Persiaran Rentak Perdana yang didakwa tidak dikutip sehingga menimbulkan bau busuk dan mencemarkan air paya bersebelahan kebun sawit.
Pengguna berkenaan turut mendakwa kehadiran lalat dan nyamuk semakin meningkat serta dikhuatiri menjejaskan kesihatan penduduk setempat.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebelum ini memaklumkan pihaknya menutup 10 laluan masuk yang dipercayai digunakan lori dan jentera berat untuk membuang sampah secara haram di sekitar Ijok.
Tindakan itu susulan pengesanan pencerobohan tanah kerajaan dan persendirian di Kampung Seri Sentosa serta Kampung Harmoni yang dijadikan lokasi pelupusan sampah haram.
MPKS berkata, operasi oleh Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dijalankan di tiga lokasi iaitu berhampiran Rentak Perdana, Kampung Seri Sentosa dan Kampung Harmoni.

