
TAMPIN – Bagi kebanyakan orang, kotak dan botol plastik mungkin dianggap sampah, namun bagi Chong Nyuk Lan, 60, barangan terpakai itu menjadi sumber rezeki untuk membantu menampung kehidupan seharian.
Penduduk Taman Woon itu berkata, dia sudah kira-kira 15 tahun mengutip barangan terpakai seperti kotak dan botol air di sekitar kawasan kediamannya sebelum menjualnya kepada pusat kitar semula.
Menurutnya, dia mampu memperoleh sekitar RM300 sebulan hasil jualan barangan terpakai berkenaan, selain menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Saya tidak bekerja sekarang. Dulu saya pernah menjual baju dan kasut, tetapi sudah kira-kira 30 tahun saya tidak lagi melakukan pekerjaan itu.
“Sekarang saya kutip kotak dan botol air. Saya tidak kisah orang pandang rendah atau anggap saya mencari sampah kerana saya memang suka melakukan kerja ini,” katanya ketika ditemui di deretan kedai Taman Woon, di sini, baru-baru ini.
Nyuk Lan berkata, dia sanggup berjalan kira-kira satu kilometer sehari untuk mengutip barangan berkenaan kerana aktiviti itu bukan sahaja memberinya sedikit pendapatan, malah membuatkan dirinya kekal aktif dan sihat.
“Kalau tengok dapat RM20 sehari pun saya sudah bersyukur. Bagi orang mungkin sedikit, tetapi bagi saya duit itu boleh digunakan untuk keperluan harian,” katanya.
Katanya, suaminya yang berusia 62 tahun sebelum ini bekerja sebagai pencuci tangki, namun kini tidak lagi bekerja dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
The post Sampah jadi rezeki tampung hidup appeared first on Kosmo Digital.


