Sampai 61 tikaman, kenapa terlalu kejam?

LocalPolitics
3 May 2026 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sampai 61 tikaman, kenapa terlalu kejam?
Dua remaja lelaki direman bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej perempuan dengan 61 kesan tikaman, Nurfisya Zulkifly, yang ditemukan di Kampung Simah, Ketereh. Foto Bernama.

KES pembunuhan seorang penuntut kolej yang ditikam sehingga 61 kali di Ketereh, Kota Bharu bukan sahaja mengejutkan, malah menggoncang rasa kemanusiaan kita seolah-olah sukar untuk diterima bahawa kekejaman sebegitu mampu dilakukan sesama insan.

Berdasarkan kronologi laporan, mangsa yang juga seorang pelajar berusia 19 tahun baru kembali ke kolej selepas cuti semester menjadi korban dalam kejadian tragis itu.

Lebih mengejutkan, kes berkenaan melibatkan remaja sebaya mangsa yang masih muda apabila dua remaja ditahan bagi membantu siasatan di sekitar Ketereh pada Jumaat malam.

Pada Sabtu, dua remaja lelaki berusia 19 tahun terbabit direman selama tujuh hari, manakala sepasang warga emas direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat tikaman berganda di bahagian dada berdasarkan hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Di sebalik fakta siasatan, mangsa merupakan seorang gadis yang berhijrah dari Perak ke Kelantan demi melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Seperti kebanyakan anak muda lain, anak kedua dari empat adik beradik itu membawa harapan dan impian bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk membanggakan keluarga.

Bagaimanapun, perjalanan penuntut kolej wanita berusia 19 tahun itu berakhir tragis apabila disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius tikaman berganda di bahagian dada.

Bukan hanya impian mangsa yang lebur, malah keluarganya kini terpaksa menerima kehilangan yang tidak mungkin terganti buat selama-lamanya.

Apa pun punca di sebalik kejadian ini, satu perkara perlu ditegaskan tiada alasan yang boleh menghalalkan kekejaman.

Sama ada konflik peribadi, tekanan emosi atau salah faham, tindakan meragut nyawa dengan cara kejam tidak boleh diterima dan semua itu tidak wajar berakhir dengan kehilangan nyawa secara tragis.

Setiap manusia mempunyai pilihan untuk berfikir, berbincang dan mencari jalan penyelesaian tanpa perlu menggunakan kekerasan.

Satu atau dua tikaman sudah cukup untuk meragut nyawa, inikan pula puluhan tikaman yang jelas menunjukkan tindakan melampaui batas.

Tragedi tersebut harus menjadi peringatan tegas bahawa emosi yang tidak dikawal mampu membawa kepada penyesalan seumur hidup.

Dalam apa jua keadaan, jangan sesekali membiarkan kemarahan menguasai diri hingga mendorong kepada tindakan di luar batas kemanusiaan.

Kerana sekali tersilap langkah, akibatnya bukan sahaja meragut nyawa orang lain, malah menghancurkan masa depan sendiri dan memusnahkan kehidupan ramai pihak.

Kini, sebuah keluarga kehilangan anak, seorang pelajar kehilangan masa depan, dan kita semua sekali lagi diingatkan bahawa keganasan tidak pernah menjadi jalan penyelesaian.

Al- Fatihah buat Nurfisya Zulkifly.