
Ubay Nidji Tak Lepaskan Peluang Cicip Kek Mita
Selepas tampil menghiburkan peminat dalam Konsert Pelangi di Kuching pada Sabtu lalu, vokalis kumpulan terkenal dari Indonesia, Nidji, iaitu Yusuf Ubay, sempat mencuri perhatian warganet — bukan hanya kerana persembahan bertenaganya, tetapi juga kerana satu destinasi wajib yang sempat dikunjunginya sebelum meninggalkan bumi Sarawak, iaitu Mita Cake House.
Dalam satu video yang dimuat naik ke TikTok, Ubay kelihatan membawa pulang dua plastik besar berisi kek dari Mita Cake House. Aksi bersahajanya menjadi tular, dengan kapsyen berseloroh yang menggambarkan betapa bersungguhnya beliau mendapatkan kek tersebut, walaupun dikatakan sampai ‘terbalik baju’ kerana terlalu semangat.

Ubay Nidji Sempat Singgah Mita Cake House Sebelum Pulang ke Indonesia
Sambutan luar biasa terhadap kek daripada kedai ini bukanlah perkara baru bagi penduduk tempatan mahupun pelancong. Mita Cake House, yang terletak di Kuching, telah lama menjadi salah satu lokasi tumpuan utama bagi sesiapa yang datang berkunjung ke Sarawak. Kek butter cheese dari kedai ini dikatakan sangat ikonik, sehinggakan ramai sanggup beratur panjang untuk membawanya pulang sebagai buah tangan.
Menariknya, dalam video yang dimuat naik, Ubay turut berkongsi pengalaman ‘berbaris panjang’ di luar kedai, menggambarkan suasana luar biasa yang sering berlaku di Mita Cake House. Difahamkan, beliau dan rombongan tidak melepaskan peluang memborong kek dalam jumlah yang banyak kerana sudah biasa menikmatinya.
@yusufubay29 Ada yang suka juga gak?
♬ original sound – Cup
Netizen yang mengikuti hantaran tersebut nyata terhibur, dan ada juga yang berkongsi pengalaman masing-masing beratur panjang demi mendapatkan kek yang sama. Ubay turut meninggalkan komen balas yang menunjukkan keterujaannya, memperlihatkan bahawa kek tempatan Sarawak itu berjaya mencuri hati bukan sahaja rakyat Malaysia, malah juga selebriti antarabangsa.
