Samsung mempunyai ekosistem internet benda SmartThings yang membolehkan bukan sahaja peranti pintar tetapi TV, peralatan dapur, sistem pendingin hawa, robot dan lampu keluaran mereka dikawal. Di IFA 2023, Samsung mengesahkan akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif pada peralatan rumah pintar.

Yoo Mi-young, ketua pembangunan perisian untuk peralatan digital Samsung berkata AI generatif akan digunakan pada kemampuan suara, penglihatan dan paparan peralatan rumah pintar. Apabila arahan suara diberikan misalnya, peranti akan dapat berbual dengan pengguna seperti manusia sebenar. Pada bahagian penglihatan pula, ia boleh memahami dengan lebih baik apa yang sedang dilihatnya seperti apa sedang dimasak dan apakah pula kandungan dalam peti sejuk.
Turut akan dibangunkan ialah cip untuk peralatan rumah pintar yang menjimatkan penggunaan kuasa. Cip ini apabila digunakan kelak hanya memakan kuasa 0.1 Watt setiap 24 jam ia beroperasi. Ini sebuah lagi usaha Samsung untuk menghasilkan produk yang lebih lestari khusus dalam dunia di mana kos bil elektrik semakin meningkat.
Samsung tidak pula mengatakan bilakah peralatan rumah dengan AI generatif ini akan mula ditawarkan. Yang diketahui setakat ini Samsung membangunkan AI generatif untuk kegunaan sendiri dengan bantuan Naver beberapa bulan yang lalu.
- Sumber
- Yonhap News

