Satu kekurangan peranti Samsung berbanding peranti keluaran China ialah sistem pengecasannya yang tidak begitu pantas. Galaxy S23 Ultra misalnya hanya mengecas pada output maksimum 45W. Laporan daripada The Elec kini mengatakan isu ini mungkin akan diselesaikan selepas Samsung SDI membangunkan bateri baharu yang bukan sahaja boleh dicas lebih pantas tetapi juga mempunyai kapasiti lebih besar.

Menerusi teknologi bateri yang disusun secara bertindan, kapasiti bateri baharu Samsung SDI boleh meningkat sehingga 10%. Ia juga akan membolehkan pengecasan lebih pantas dilakukan. Samsung SDI sudahpun menggunakan teknologi ini pada bateri kereta mereka tetapi tidak pada bateri peranti pintar. Insiden bateri meletup Galaxy Note 7 pada tahun 2016 menyebabkan Samsung lebih berhati-hati bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
Bateri yang digunakan sekarang adalah dari jenis yang digulung dan antara isu yang wujud ialah ia akan menggelembung selepas beberapa tahun. Lebih menarik dalam laporan The Elec ialah Samsung SDI bekerjasama dengan dua syarikat China untuk menghasilkan bateri bertindan ini. Ura-ura mengenai bateri bertindan Samsung sudah didengari sejak awal tahun ini. Besar kemungkinan ia akan digunakan pada siri Galaxy Z Fold5 dan Z Flip5 yang akan dilancarkan pada 26 Julai nanti.
- Sumber
- The Elec
