Samsung Galaxy A24 dilancar dengan sokongan OS setara Galaxy S23

Digital
11 May 2023 • 10:37 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Kemeriahan telefon pintar kelas pertengahan dihangatkan lagi oleh Samsung apabila hari ini mereka mengumumkan ketibaan Galaxy A24. Ia adalah telefon pintar mampu milik tanpa sokongan 5G.

Bagaimanapun, telefon ini boleh dikatakan pilihan yang menarik di bawah RM1,000 kerana Samsung menjanjikan kemaskini keselamatan selama 5 tahun, dan kemaskini sistem operasi (OS) sebanyak 4 kali. Ini jaminan yang jauh lebih panjang daripada kebanyakan model flagship jenama lain.

Harga dan promosi tempahan awal

Telefon pintar Galaxy A24 boleh mula dibeli sekarang, di Stor Online Samsung Malaysia, serta di Lazada dan Shopee. Harga rasminya adalah seperti berikut:

  • Samsung Galaxy A24 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM999

image is not available

Bagi pembeli awal dari sekarang sehingga 31 Mei 2023, mereka akan menerima jaminan lanjutan tahun kedua berharga RM99 dan sarung getah lutsinar bernilai RM79. Selain itu, Samsung menjamin kemaskini keselamatan selama 5 tahun dan kemaskini OS 4 kali. Ini selaras dengan kempen Samsung untuk Galaxy A54 iaitu 5+4+2 (5 tahun keselamatan, 4 kali OS, 2 tahun jaminan).

Spesifikasi Galaxy A24

image is not available

Sekilas pandang, Galaxy A24 merupakan telefon pintar yang menarik dan berbaloi untuk dimiliki di bawah RM1,000. Boleh dikatakan, ia setanding dengan prestasi yang diberikan telefon Xiaomi dan Realme di bawah RM1,000.

Bermula dengan kuasa dalaman, Galaxy A24 menggunakan cip Helio G99, cip terbaik Mediatek tanpa 5G. Ia digandingkan bersama RAM 8GB dan storan 128GB. Terdapat juga keupayaan RAM maya, membenarkan tambahan RAM 8GB, menjadikan jumlah RAM kepada 16GB. Kad mikroSD juga diterima sehingga 1TB untuk meluaskan lagi ruang penyimpanan.

image is not available

Skrinnya juga tidak kurang hebat kerana ia dilengkapi skrin Super AMOLED, dengan takuk kecil-U di atasnya. Ia berukuran 6.5-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 90Hz. Pengimbas capjari terdapat di dalam butang kuasa di sisi.

Kamera hadapan di dalam takuk-U, menggunakan sensor 13MP F 2.2. Manakala di belakang, ia diberikan kamera utama 50MP F1.8 OIS, kamera ultra lebar 5MP F2.2 dan kamera makro F2.4. Kemasan kamera belakang ini sangat serupa dengan Galaxy S23.

image is not available

Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 25W menerusi USB-C. Bagaimanapun, tiada kepala pengecas diberikan di dalam kotak, ia perlu dibeli berasingan.

Sistem bunyi pada Galaxy A24 hanyalah mono dan ia mengekalkan jek audio 3.5mm. Walaupun menjamin kemaskini OS 4 kali, tidak pula dinyatakan apakah jenis Android yang datang siap pada Galaxy A24. Jika ia memiliki Android 13, maka Galaxy A24 akan menerima kemaskini OS sehingga Android 17.

image is not available

Terdapat tiga pilihan warna disediakan untuk Galaxy A24 iaitu hijau, hitam, dan merah gelap. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Galaxy A24.

Bacaan Berkaitan