Samsung Galaxy S25 Edge Akan Dilancarkan Pada 12 Mei

TechnologyDigital
8 May 2025 • 8:51 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung Galaxy S25 Edge kini disahkan akan dilancarkan secara rasmi pada 12 Mei depan. Peranti sudah diacah Samsung sejak Januari lagi semasa acara pelancaran Galaxy S25, Galaxy S25+ dan Galaxy S25 Ultra. Galaxy S25 Edge akan dipasarkan sebagai telefon pintar nipis dengan spesifikasi kelas mercu.

image is not available

Sebelum ini spesifikasi penuh Galaxy S25 Edge telahpun tertiris dengan ia dilengkapi skrin 6.7″ AMOLED 120 Hertz, dijana cip Snapdragon 8 Elite, memori sebesar 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri pula sebesar 3900 mAh dengan pengecasan berwayar 45W.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP f/1.7 dan lensa ultra lebar 12MP f/2.2. Ini berbeza dengan siri Galaxy S25 lain yang dilengkapi tri-kamera di belakang. Di hadapan pula kamera 12MP diletakkan dalam lubang skrin.

Terdapat pengimbas cap jari ultrasonik terbina dalam skrin bersama dengan kemampuan kalis air serta debu IP68. Tubuh peranti hanya setebal 5.85mm yang adalah 20% lebih nipis berbanding Galaxy S25+ yang setebal 7.3mm.