Samsung Galaxy Tab S10+ dan Tab S10 Ultra Turut Dilancarkan Dengan Galaxy AI – Harga Bermula RM4599

TechnologyDigital
26 Sep 2024 • 11:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Bukan sekadar Samsung Galaxy S24 FE diumumkan secara rasmi lewat malam tetapi juga dua tablet kelas mercu Samsung Galaxy Tab S10+ dan Samsung Galaxy Tab S10 Ultra. Kedua-duanya hadir dengan ciri kecerdasan Galaxy AI yang selama ini hanya diberikan pada telefon pintar dan juga peranti skrin lipat Samsung.

image is not available

Samsung Galaxy Tab S10 Ultra ialah model paling mercu ditawarkan dengan skrin 14.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz, bernisbah 16:9, mempunyai lapisan anti silau dan menyokong stylus S Pen. Skrin mempunyai takuk di bahagia hadapan bagi meletakkan dua kamera swafoto.

Cip Dimensity 9300+ dipadankan dengan memori 12GB RAM, storan 256GB dan bateri 11,200 mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Kerana storan adalah agak kecil, ia boleh ditambah menggunakan kad mikro SD sehingga 1.5TB. Kamera pula menggabungkan lensa sudut lebar 13MP dengan lensa ultra sudut lebar 8MP. Di hadapan pula dua sensor 12MP digunakan pada kamera swafoto.

image is not available

Samsung Galaxy Tab S10+ pula dilengkapi skrin 12.4″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz, bernisbah 16:9, mempunyai lapisan anti silau dan menyokong stylus S Pen. Kesemua spesifikasi lain adalah sama kecuali kamera hadapan hanya 12MP dan bateri pula sebesar 10,090 mAH dengan sokongan pengecasan 45W.

Sistem operasi yang digunakan ialah One UI 6.1.1 berasaskan Android 14 yang membawakan ciri Galaxy AI seperti Sketch to Image, Portrait Studio, suntingan gambar, Composer, Note Assist dan Live Translate. Kemampuan dan ciri AI pada kedua-dua tablet adalah setanding dengan yang diberikan pada Z Fold6 dan Z Flip6.

image is not available

Tubuh peranti melepasi piawaian kalis debu dan air IP68, mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin, kuad speaker dengan audio stereo, mod Vision Booster dan tubuh yang diperbuat daripada bahan Enhanced Armor Aluminium yang tahan lasak.

Harga jualan peranti siri Samsung Galaxy Tab S10 adalah seperti di bawah.

  • Samsung Galaxy Tab S10 Ultra (WiFi+5G) – RM6649
  • Samsung Galaxy Tab S10 Ultra (WiFi) – RM5999
  • Samsung Galaxy Tab S10+ (WiFi+5G) – RM5249
  • Samsung Galaxy Tab S10+ (WiFi) – RM4599

Samsung Malaysia memberikan papan kekunci Free Book Cover Keyboard Slim (AI Key) bernilai RM949 dan rebat RM500 untuk pertukaran peranti lama.

image is not available