Samsung hari ini secara rasminya memperkenalkan dua model telefon pintar baharu dibawah siri Galaxy A, iaitu Galaxy A55 5G dan juga Galaxy A35 5G. Kedua-duanya hadir dengan binaan yang baik, selain turut mengintegrasikan sejumlah ciri-ciri menarik – termasuk sokongan kemaskini selama empat generasi Android dan lima tahun kemaskini sekuriti.

Untuk tahun ini juga, kedua-dua model ini kini hadir dengan sokongan Samsung Knox Vault – yang melindungi data daripada pelbagai serangan siber, disamping keupayaan rakaman gambar pada waktu malam yang lebih baik pada Galaxy A55.
Pengguna siri Galaxy A juga akan mempunyai akses kepada Security & Privacy Dashboard – yang membolehkan pengguna mengawal pelbagai perkara pada peranti, termasuk akses kebenarang pada sesuatu aplikasi.

Samsung Galaxy A55 5G hadir dengan skrin 6.6-inci FHD+ Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, dilengkapi memori sehingga 12GB RAM dan storan sehingga 256GB. Pada bahagian kamera, ia hadir dengan kamera belakang utama 50-megapixel, yang turut disertakan bersama kamera ultra-lebar 12-megapixel dan kamera 5-megapixel makro. Pada bahagian hadapan, ia menyertakan sensor swafoto 32MP. Menguasakan peranti ini adalah bateri 5000mAh.

Samsung Galaxy A35 5G turut sama hadir dengan skrin 6.6-inci FHD+ Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, memori sehingga 8GB RAM, dan storan sehingga 256GB. Pada bahagian kamera, ia hadir dengan kamera utama 50-megapixel yang disatukan bersama sensor 8MP ultra-lebar, dan 5MP makro. Untuk rakaman swafoto pula, ia hadir dengan kamera 13MP. Telefon ini turut hadir dengan bateri 5000mAh.
Melengkapkan kedua-dua telefon pintar ini adalah sistem operasi Android 14, dengan antaramuka OneUI 6.1. Kedua-dua peranti juga hadir dengan kamera dengan sokongan OIS untuk rakaman gambar yang lebih baik.
Buat masa ini, tarikh jualan dan harga jualan tempatan masih belum dikongsikan. Mungkin kita akan mendengar mengenainya dalam masa terdekat ini.
