Samsung nafi khabar telefon lipat murah, tidak menolak kemungkinan telefon lipat FE

Digital
17 Nov 2023 • 6:42 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Ramai juga yang teruja bila dengar berita Samsung mungkin hasilkan telefon pintar lipat yang murah. Tetapi anda boleh lupakan seketika perkara ini, kerana ia telah dinafikan secara rasmi oleh Samsung.

Dalam kenyataan rasmi kepada JoongAng Daily di Korea, wakil Samsung Electronics menjelaskan, Samsung tidak merancang untuk menghasilkan telefon pintar boleh lipat pada harga kelas pertengahan. Malah khabar angin yang tersebar adalah tidak berasas.

Berita tentang telefon lipat murah ini dipetik daripada laporan oleh firma kajian TrendForce, yang mencadangkan bahawa Samsung sedang merancang untuk menghasilkan telefon lipat kelas pertengahan dan lebih murah. Ia kemudiannya disambut dengan petikan daripada pembocor berita atas talian, yang mengatakan harga telefon lipat tersebut akan serupa dengan Galaxy A54, iaitu RM1,899 di Malaysia.

Apabila ditanyakan tentang kemungkinan versi lebih murah seperti Galaxy Z Fold FE dihasilkan, wakil Samsung menjawab ia masih belum dimuktamadkan. Mungkin peratusnya kecil, tetapi ia tidak menolak sepenuhnya penghasilan telefon lipat lebih murah. Cuma tidak semurah RM2,000.

image is not available
Galaxy Z Fold 5 dan Galaxy Z Flip 5

Model FE adalah peranti yang memiliki fungsi kelas flagship tetapi mengorbankan beberapa perkara untuk menjadikannya lebih murah. Tahun ini, Samsung telah melancarkan tiga produk FE baru iaitu Galaxy S23 FE, Galaxy Tab S9 FE dan Galaxy Buds FE.

Memandangkan Samsung telah menafikan tentang telefon lipat bawah RM2,000, apakah had harga yang anda rasakan sesuai untuk telefon lipat yang lebih mampu milik? Murah sahaja tidak mencukupi jika prestasinya tidak mencapai tahap memuaskan.

[Sumber: JoongAng Daily]

Bacaan Berkaitan