Samsung Perlihat Panel MicroLED Lutsinar Pertama Dunia

TechnologyDigital
8 Jan 2024 • 8:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Di CES 2024 Samsung mengambil kesempatan untuk memperlihatkan inovasi panel MicroLED mereka. Prototaip TV MicroLED lutsinar pertama dunia telah diperlihatkan di acara ini yang menunjukkan prestasinya yang lebih baik berbanding OLED dan LCD lutsinar yang mereka hasilkan sebelum ini.

Apabila diletakkan secara sebelah menyebelah, keterangan panel MicroLED lutsinar adalah lebih tinggi pada waktu yang sama boleh menunjukkan objek di belakang dengan lebih jelas berbanding OLED dan LCD lutsinar. Ia juga nipis serta boleh menggunakan rekaan nirbingkai sepenuhnya. Sekilas pandang panel MicroLED lutsinar Samsung kelihatan seperti sebuah kaca tingkap biasa.

Satu lagi kelebihan panel MicroLED ialah ianya modular membolehkan sebarang paparan dengan saiz dan nisbah skrin dihasilkan oleh Samsung bagi kegunaan TV di rumah atau paparan komersial di ruang perniagaan.

image is not available

Pada waktu ini teknologi panel MicroLED lutsinar Samsung masih sekadar sebuah demo tanpa sebarang garis masa bilakah ia akan ditawarkan sebagai produk yang boleh dibeli oleh orang ramai. Hari ini juga di CES LG Signature OLED T telah diperlihatkan dengan ia akan menjadi TV pintar OLED lutsinar pertama dijual kepada orang ramai selepas beberapa tahun wujud sebagai unit demo sahaja.