Samsung Wallet kini di Malaysia, ini cara tambah sijil vaksin COVID-19 ke dalamnya

Digital
14 Feb 2023 • 11:06 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Samsung Wallet telah tiba dan boleh digunakan untuk peranti Samsung Galaxy di Malaysia. Ia merupakan gabungan Samsung Pay dan Samsung Pass, kini menjadi satu sebagai tempat sehenti pelbagai perkara digital seperti kunci digital, baucar, kad kredit, pas penerbangan serta sijil kesihatan dan vaksin.

Dengan tibanya Samsung Wallet, pengguna peranti Galaxy di Malaysia kini boleh menyimpan sijil vaksin COVID-19 di dalam telefon pintar. Perkara yang serupa telah diperkenal Apple di dalam iPhone, menerusi Wallet yang baru dibenarkan penggunaan di Malaysia tahun lepas.

image is not available

Cara menambah sijil vaksin COVID-19 ke dalam Samsung Wallet

Pertama sekali, anda perlu memastikan aplikasi Samsung Wallet telah ada di dalam peranti. Ia akan menggantikan aplikasi Samsung Pay yang telah ada sebelum ini. Sebelum mula menambah sijil vaksin, pastikan telah ada maklumat sijil vaksin tersebut. Cara paling mudah adalah dengan menangkap layar kod QR sijil digital di dalam aplikasi MySejahtera.

image is not available

Selepas kod QR tersebut telah disimpan dan aplikasi Samsung Wallet juga telah dipasang, anda boleh mula menambah pas. Caranya, buka aplikasi Samsung Wallet dan tekan pada butang ‘+’ di bahagian kanan atas, kemudian pilih ‘Health Passes’.

image is not available

Aplikasi Samsung Wallet akan melancarkan kamera. Tekan pada ikon ‘Gallery’ di bawah kanan untuk memilih gambar. Pilih gambar kod QR sijil vaksin yang ditangkap layar dan potong pada kod QR yang pertama dahulu, satu persatu. Jangan muatkan lebih dari satu kod QR.

Samsung Wallet akan mengimbas dan memuat turun maklumat di kod QR, dan memaparkan maklumat sijil vaksin. Tekan pada butang ‘Add’ untuk mengesahkan penambahan ke dalam Samsung Wallet. Ulang semula langkah ini untuk kod QR sijil vaksin yang seterusnya.

image is not available

Selepas sijil vaksin ini ditambah, anda boleh melihatnya dalam bentuk kad digital sama seperti kad kredit atau debit di Samsung Pay dahulu. Jika kad vaksin ini ditekan, ia akan menunjukkan lebih banyak maklumat seperti nama penuh, tarikh lahir serta tarikh mengambil vaksin dan jenis vaksin yang dicucuk.

Maklumat sijil vaksin ini boleh dilihat pantas, sama seperti cara Samsung Pay sebelum ini iaitu menyapu dari bawah skrin ke tengah. Anda boleh menujukkan kod QR lebih besar dengan menekan pada ‘Show QR Code’, jika perlu dipaparkan mengikut keperluan, seperti pengesahan oleh imigresen di luar negara.

image is not available

Samsung Wallet direka untuk menjadi pusat sehenti menyimpan pelbagai pas dan kad pembayaran menerusi dompet digital. Memandangkan Menteri Pengangkutan baru sahaja mengumumkan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan diubah kepada digital, pasti lebih menarik jika ia turut boleh disimpan di dalam Samsung Wallet, Apple Wallet atau Google Wallet.

Apa pendapat anda tentang Samsung Wallet yang baru ini? Kongsikan komen anda di ruangan perbualan di bawah.

Bacaan Berkaitan