
Kota Kinabalu: Empat lelaki warga asing, termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang disyaki melakukan pelbagai kes samun di sekitar Bandaraya ini, ditahan pada hujung minggu lalu.
Empat suspek berusia 10, 24, 24 dan 28 tahun itu ditahan dalam serbuan di Jalan Segama dan Jalan Tugu Kampung Air oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
Susulan penahanan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan beberapa kes samun di kawasan tumpuan pelancong di Bandaraya.
“Pada 30 Disember 2023, polis dimaklumkan mengenai kejadian samun seorang warga China oleh dua lelaki di Jalan Gaya, di sini, hingga menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai dan beberapa barang berharga.
SPONSORED CONTENT RM20bil green steel project: Sabah on its way to adopting green technology, says Hajiji Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said Sabah is well on its way to fully adopting the green technology revolution with a RM20 billion green steel project at the Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip). Read more Susulan itu, pegawai dan anggota D9 JSJ Kontinjen Sabah menjalankan siasatan dan menahan dua lelaki di tepi sebuah bangunan di Jalan Labuk, Segama, di sini, pada 13 Januari lalu.
“Polis merampas beberapa barang disyaki hasil kegiatan samun. Turut dirampas dua bilah pisau, pemutar skru dan tukul yang digunakan oleh suspek,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Jauteh berkata, hasil risikan dan pemantauan berterusan oleh pasukan polis, mereka akhirnya menahan dua lagi lelaki, termasuk kanak-kanak tersebut, pada jam 5.20 petang Isnin di Jalan Tugu Kampung Air.
“Kedua-dua suspek beralamat di Pulau Gaya, tetapi semua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan masyarakat susulan kejadian-kejadian samun, khususnya di kawasan tumpuan pelancong, Jauteh berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi cegah jenayah dan siasatan hingga menangkap penjenayah terbabit.
“Operasi bersepadu secara berterusan dijalankan membabitkan pegawai dan anggota dari pelbagai unit di kawasan ‘hotspot’ khususnya di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Bandaraya ini.
“Ini termasuk melakukan pendekatan ‘Walkabout Bersepadu’ yang bertujuan mendekati masyarakat sekali gus menunjukkan kehadiran polis bagi mencegah jenayah,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, operasi sebegini akan diteruskan dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melakukan jenayah dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
