
BANGKOK: San Francisco bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik yang akan berlangsung pada 12 Nov 2023.
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha menyerahkan kerusi presiden sidang kemuncak itu kepada Naib Presiden Amerika Syraikat (AS) Kamala Harris pada satu majlis di Bangkok pada Sabtu.
Prayuth turut menyampaikan “Chalom” iaitu bakul buluh tradisional Thailand menjadi logo APEC tahun ini yang melambangkan kekuatan, fleksibiliti dan konsistensi.
Sementara itu, Harris berkata AS akan mengadakan Mesyuarat Pemimpin APEC di San Francisco, California pada 12 Nov.
“Presiden Joe Biden dan saya mengalu-alukan kehadiran Pemimpin APEC ke San Francisco tahun depan dan akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk rakyat Amerika dan di seluruh rantau Indo-Pasifik.
“Kami akan mempamerkan komitmen ekonomi Amerika Syarikat kepada Indo-Pasifik.
“Amerika Syarikat ialah rakan kongsi yang kukuh bagi sektor ekonomi dan syarikat Indo-Pasifik, dan kami sedang berusaha mengukuhkan hubungan di seluruh rantau ini termasuk meningkatkan aliran perdagangan dua hala dan aliran bebas modal yang menyokong berjuta-juta peluang pekerjaan,“ kata beliau.
Harris berkata Amerika Syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan membina asas kukuh yang telah ditetapkan Thailand pada 2022.
“Kami akan bekerjasama dengan ekonomi APEC untuk memberi komitmen terhadap kemampanan dan penyahkarbonan baharu,” kata beliau. - Bernama

