
MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengakui pernah melakukan kesilapan ketika berdebat dengan pencabar utamanya menjelang pilihan raya minggu depan yang berisiko memberi laluan kuasa kepada parti berhaluan kanan.
Sepanjang debat secara langsung selama dua jam itu, kedua-dua calon utama tersebut saling bertelagah serta kerap memotong percakapan masing-masing berhubung isu ekonomi, perumahan, imigresen dan rasuah.
“Kerajaan saya tidak sempurna, saya telah melakukan kesilapan, namun saya sedar sepenuhnya bahawa kami sentiasa mentadbir ke arah yang betul,” kata Sanchez sambil menegaskan pertumbuhan ekonomi dan angka pekerjaan negara kini jauh lebih baik berbanding ketika beliau mula berkuasa pada 2018.
Dakwaan itu disangkal pemimpin Parti Rakyat (PP) berhaluan kanan arus perdana, Alberto Nunez Feijoo yang menyenaraikan kegagalan kerajaan termasuk kenaikan harga barang, cukai tinggi serta krisis perumahan yang didakwanya menindas golongan kelas pertengahan.
Feijoo turut mengungkit skandal rasuah yang membabitkan ahli keluarga Sanchez dan pemimpin kanan Sosialis, selain menyalahkan pentadbiran beliau atas dua nahas pelanggaran kereta api berkelajuan tinggi tahun ini yang meragut 115 nyawa, sambil menyifatkan Sanchez bukan seorang perdana menteri yang wajar dihormati.
Sanchez turut didakwa menjadi figura yang memecahbelahkan masyarakat di Sepanyol selepas lapan tahun memerintah.
Walaupun bagaimanapun, beliau disanjung golongan berhaluan kiri antarabangsa kerana kelantangannya berdepan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Israel. Tinjauan pendapat menunjukkan parti Sosialis pimpinan beliau ketinggalan di belakang PP yang diramal memenangi kerusi terbanyak pada pengundian 29 November ini tanpa memperoleh majoriti mutlak.
Ia sekali gus memberi peranan penentu kepada parti kanan yang sedang meningkat naik, Vox, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan PP di peringkat wilayah.
Kedudukan Sanchez semakin rumit berikutan kelemahan parti-parti berhaluan kiri lain yang sokongannya amat penting untuk mengekalkan beliau di tampuk kuasa selepas pilihan raya umum 2023 di mana PP memenangi lebih banyak kerusi.
Tetapi Sanchez berjaya bertahan menerusi gabungan bersama parti haluan kiri dan pemisah wilayah.
Sanchez yang terkenal dengan keupayaannya melepasi situasi sukar dalam kerjaya politiknya tetap yakin mampu mengatasi ramalan tersebut dengan memanfaatkan kemarahan rakyat terhadap krisis perumahan.
Krisis itu sebelum ini memaksa pilihan raya diawalkan daripada jadual asal 2027 selepas blok haluan kanan menolak langkah pembelaan penyewa yang dicadangkan kerajaan.
Sebaliknya, Sanchez memberi amaran bahawa gabungan PP dan Vox bakal menghapuskan hak sosial serta kemajuan ekonomi yang telah dicapai selama ini.
“Kita mampu melakukan yang lebih baik kerana kami akan membawa keadilan sosial lebih meluas, perkhidmatan awam lebih bermutu dan kemakmuran lebih besar,” tegas Sanchez. -AFP
The post Sanchez mohon maaf, akui kelemahan pentadbiran appeared first on Utusan Malaysia.
