
SANDAKAN: Persatuan Sokongan Kanser Payudara Sandakan, yang lebih dikenali sebagai Sandakan Pink Ribbon (SPR), akan meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya menerusi majlis makan malam amal dan kutipan dana di sini pada 31 Oktober ini.
Presiden SPR Mary Alex Mansiw berkata acara itu bukan sahaja meraikan dua dekad khidmat persatuan berkenaan, malah turut mengumpul dana bagi meneruskan program kesedaran kanser payudara serta membantu pesakit yang memerlukan.
Beliau berkata persatuan itu bermula pada 2006 sebagai sebuah jawatankuasa di bawah naungan Hospital Duchess of Kent (HDOK) di Sandakan dengan Pengarah Hospital ketika itu Dr Zorina Khalid memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif berkenaan.
Katanya, pada masa itu, tahap kesedaran orang ramai mengenai kanser payudara masih rendah.
“Tidak ramai yang mengetahui tentang kanser payudara ketika itu. Oleh itu, kami mengambil inisiatif mendekati masyarakat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, bagi mendidik mereka mengenai kesihatan payudara dan kepentingan pengesanan awal,” katanya.
Mary berkata selain bekerjasama dengan pihak hospital, SPR turut menerima bantuan daripada IJM Plantation dalam menganjurkan pelbagai program pendidikan kesihatan, forum dan ceramah bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai penyakit itu.
“Usaha ini akhirnya membawa kepada penubuhan rasmi Persatuan Sokongan Kanser Payudara Sandakan pada 2 Februari 2017,” katanya.
Beliau berkata sumbangan daripada Sabah Credit Corporation, yang ketika itu dipengerusikan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen, derma daripada orang ramai dan penyumbang di Kuala Lumpur serta sokongan IJM Properties dalam menyediakan premis membantu merealisasikan penubuhan Pusat Sandakan Pink Ribbon.
“Pusat itu kini berfungsi sebagai lokasi bagi program kesedaran kanser payudara, mesyuarat dan pelbagai aktiviti.
“Pada peringkat awal, kami sering mengadakan mesyuarat di hospital dan di rumah saya. Kini, SPR mempunyai pusat sendiri untuk menjalankan aktiviti serta menyediakan ruang kepada pesakit dan ahli berkumpul dan berkongsi pengalaman, selain menjemput penceramah dan pakar untuk berkongsi pengetahuan mereka,” katanya.


