Sandrea temui Anwar bincang isu Dara, Amoi, Kelat

5 May 2026 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sandrea temui Anwar bincang isu Dara, Amoi, Kelat
Sandrea (kanan) bertemu Anwar membincangkan perkembangan terkini isu pemindahan tiga ekor gajah dari ZTNS ke TZO. Foto Facebook Sandrea Ng

IPOH – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkembangan terkini isu pemindahan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari ke Tennoji Zoo.

Menurut beliau, menerusi pertemuan itu beberapa perkara utama diberikan penekanan termasuk kebajikan tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

Katanya, turut diberikan perhatian ialah kepentingan mengekalkan hubungan diplomatik yang baik serta menghormati komitmen dan perjanjian yang telah dimeterai antara pihak terlibat.

"Keprihatinan masyarakat terhadap isu tersebut amat dihargai, namun semua pihak perlu melihat perkara itu secara menyeluruh dengan berpandukan fakta serta perkembangan semasa.

“Dalam masa sama, semua pihak berkaitan perlu mengambil pendekatan cermat dalam setiap tindakan, dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan haiwan serta pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan mereka sentiasa berada pada tahap baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah beliau, perkembangan lanjut berhubung isu berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia itu.

Kementerian itu menjelaskan tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut dan perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.

Isu pemindahan tiga gajah tersebut sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pencinta haiwan yang menzahirkan kebimbangan terhadap aspek kebajikan dan kesesuaian habitat baharu haiwan berkenaan.