“Sangat Melampau Sampai Emak Menangis”- Adik Ipar Kecewa Prince Syed Biar Ibu Bapa Mentua Masuk Lokap

LocalFamily & Parenting
4 Nov 2025 • 12:34 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sebelum ini isteri kepada influencer dan usahawan, Prince Syed Shahid iaitu Fatin Syazwani telah tampil menafikan dakwaan dia dipaksa menjalani pembedahan bariatrik oleh suami sebaliknya mengakui ia adalah kerelaan sendiri.

Malah Fatin turut mengatakan suaminya juga tidak pernah memaksanya melakukan pembedahan tersebut untuk menjual produk pelangsing seperti tular di media sosial.

Dalam masa sama, Prince Syed turut memaklumkan dia membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat empat individu dikenali menyerangnya dan memukulnya sehingga cedera di bahagian tangan dan wajah.

Susulan daripada laporan yang dibuat, polis kemudian menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 22 hingga 59 tahun untuk membantu siasatan. Antara yang ditahan adalah ibu bapa mentua influencer berkenaan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Prince Syed Dedah Buat Bariatrik Atas Kerelaan Sendiri, Minta Henti Serang Suami

Adik ipar luah kecewa Prince Syed tergamak buat ibu bapa mentua masuk lokap

Terbaharu adik ipar kepada Prince Syed, Muhd Ikhwan Aliff yang berusia 22 tahun meluahkan rasa kecewanya apabila abang ipar sanggup membiarkan ibu bapanya masuk ke dalam lokap ekoran laporan yang dibuat.

Muhd Ikhwan Alif merupakan antara empat individu yang ditahan polis selain ibunya, Aminah Hanifa, 55, bapa, Ishak Saif, 59, dan abangnya, Muhd Syahmi Faiz, 31, untuk membantu siasatan kes perselisihan faham dengan influencer berkenaan.

Kesemua yang ditahan bagaimanapun telah dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini sekitar jam 7 malam pada 3 November lalu.

“Apa yang dia (Prince Syed) buat sangat melampau sampai emak menangis.

“Patutnya cukup buat laporan terhadap saya dengan abang saja tapi tergamak dia buat sampai letak emak dan abah dalam lokap,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Gagal kawal perasaan sehingga berlaku perkara seperti video yang tular

Jelas Muhd Ikhwan Alif lagi, dia gagal untuk mengawal perasaan hingga berlaku seperti dalam video yang tular di media sosial. Ini kerana dia sedih mengenangkan ibunya yang datang dari jauh tetapi tidak dibenarkan untuk melawat Fatin Syazwani di sebuah hospital di Selangor.

“Kenapa buat begitu, kalau tak bagi kami semua (melawat), bagi emak pun okay. Sekarang pun emak berat nak balik kampung sebab belum jumpa kakak.

“Sudah sebulan emak tak dapat berhubung dengan kakak. Ikutkan saya bukan marah tapi terkilan bila dia (Prince Syed) buat begitu kerana kasihan dekat emak yang nak sangat jumpa kakak,” jelasnya.

Akui sebelum ini hubungan baik dengan Prince Syed namun sudah lama simpan geram

Adik iparnya itu turut menyifatkan hubungannya dengan influencer itu sebelum ini amat baik dan mereka sangat akrab.

“Sebelum ini, saya sangat sayang dan sanjung dia… bukan semua tentang dia buruk kerana ada juga kebaikannya.

“Cuma apa yang dia buat terhadap kakak saya buat saya sudah lama simpan geram terhadapnya kerana benda boleh bincang dan jelaskan tapi dia pilih melarikan diri sampai kami tak dapat jumpa kakak.

“Kalau beritahu lebih awal sekalipun mengenai pembedahan itu, kami tak marah dan halang pun cuma kenapa nak sorok? Sampai sakit pun nak sorok.”

Syukur dibebaskan, harap ibu dapat peluang jumpa kakak

Muhd Ikhwan yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu turut berkongsi dia sebelum ini tidak pernah dimasukkan ke lokap. Akan tetapi bersyukur kerana dibebaskan pada malam semalam.

“Kami berempat duduk dalam lokap yang sama dan kali pertama saya rasai pengalaman itu.

“Kami akan pulang ke kampung hari ini cuma sebelum itu, saya harap abang Syed bagi peluang emak berjumpa kakak, itu saja. Harap dia (Prince) ubah perangai, nak dia jadi macam dulu kerana kami sangat sayangkan dia.

“Untuk kakak pula, saya nak dia sedar yang kami sudah berkorban untuknya sampai emak dan abah masuk lokap. Takkan dia tak nampak lagi?” ujarnya.