“Sanggup Hilang Gaji Berpuluh Ribu, Asalkan Keluarga Selamat” – Faisal Halim

13 Jun 2024 • 5:18 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada 5 Mei lalu, negara digemparkan dengan insiden pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim disimbah asid oleh dua orang individu yang tidak dikenali ketika dia berada di ruang parkir sebuah pusat membeli-belah.

Ekoran daripada kejadian tersebut, Faisal yang juga merupakan pemain Selangor FC mengalami kecederaan melecur yang serius di bahagian badan dan tangan akibat daripada perbuatan khianat itu.

Malah, dia juga terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi merawat luka lecuran tahap empat yang dialami olehnya.

Sanggup Hilang Gaji Berpuluh Ribu, Hanya Mahu Keluarga Selamat

Terbaharu, menerusi penampilan sulungnya selepas insiden berkenaan, Faisal menjelaskan dia rela kehilangan pendapatan ribuan ringgit asalkan keluarganya selamat. Dia juga kelihatan sebak ketika ditanya mengenai keselamatan diri dan keluarga.

“Saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu, asalkan keluarga saya selamat.

“Saya rela kerja dapat RM50, RM100 sehari. Asalkan keadaan keluarga saya selamat,” kata Faisal.

Mahu Hidup Aman Di Kampung

Tambahnya, selepas kejadian berkenaan, dia hanya mahukan kehidupan yang aman serta berehat dengan tenang di kampungnya yang terletak di Mengkuang Titi, Pulau Pinang.

Ekoran daripada kejadian itu juga, dia terpaksa ditempatkan di lokasi rahsia bagi proses pemulihan tanpa sebarang gangguan.

Kesal Anak Tidak Dapat Rasa Kasih Sayang

Memetik Kosmo, insiden itu juga menyebabkan anaknya tidak mendapat kasih sayang daripada seorang bapa ketika dia menjalani proses pemulihan hingga menyebabkan dia tidak dapat mendukung, mencium dan memeluk anaknya seperti biasa.

“Saya adalah orang yang paling rapat dengan anak. Setiap kali saya pergi ke luar negara, anak saya akan demam sebab terlalu rindukan ayahnya.

“Selepas kejadian tersebut, saya tidak boleh cium dan peluk anak selama sebulan. Ini bukanlah satu perkara yang mudah untuk seorang ayah,” katanya.

Faisal Tidak Sabar Untuk Kembali Beraksi

Faisal turut menjelaskan dia tidak sabar untuk kembali beraksi. Malah, dia mengatakan dirinya tidak puas apabila hanya mampu menyaksikan rakan sepasukan beraksi menerusi kaca televisyen.

Dia mensasarkan tempoh sebulan dua lagi untuk dirinya turun ke padang dan telah memberitahu Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar tentang hasratnya yang mahu turun berlatih.

Namun, Shahril menjelaskan fokus mereka pada ketika ini adalah proses pemulihan luka pemain itu dan latihan fisio secara ringan sebelum membantu Faisal kembali berlatih dan beraksi.

Source: