
PENGACARA dan pelakon terkenal, Uyaina Arshad sememangnya cukup meminati barang kemas emas 916 sehingga sanggup pergi ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, demi mencari koleksi pada harga lebih murah.
Berkongsi cerita bersama SinarPlus, Uyaina mendedahkan dia pernah menyangka keinginan untuk memiliki emas semakin kuat ketika mengandungkan anak ketiga. Namun, perasaan itu tidak hilang meskipun selepas melahirkan anak.
"Siapa yang follow memang tahulah, saya ni memang mata 916. Dia bukan mata duit, dia mata 916. Sebab saya memang suka aksesori emas 916.
"Jadi, mula-mula tu ingat mengidam waktu mengandung anak ketiga. Dia macam craving yang nak emas, nak emas, you know? Okey, tapi masalahnya bila dah bersalin, dah tujuh bulan bersalin pun masih lagi mengidam.
"Jadi, tu bukan mengidamlah kot. Itu memang diri saya kot. Saya sanggup ke Kuala Pilah waktu mengandung, sebab orang kata emas disitu murah dan cantik. So, saya pergi dan saya explore banyak lagi kedai emas yang lain. Saya memang suka emas," kongsinya.

Mengulas sama ada kecenderungan itu sekadar memenuhi minat peribadi atau sebahagian daripada perancangan kewangan, pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, menjelaskan emas turut dilihatnya sebagai satu bentuk simpanan jangka panjang.
"Betul, ia adalah pelaburan. Pemikiran tentang emas ni mudah. Ibarat beli emas, you convert duit kepada emas sahaja. Ia bukannya seperti anda guna duit beli barang-barang lain yang you tahu value dia akan susut nilai. Emas adalah long term investment.
"Kalau pandai menyimpan, ia akan berguna kepada kita bila-bila masa sekalipun. Sebab itulah saya tak berkira untuk membeli emas tu dan saya galakkan sesiapa sahaja untuk sama-sama ada pemikiran ini," katanya.
Dalam masa yang sama, juara Pencarian Nona Manis 2015 dan Puteri Muslimah Asia 2018 itu turut berkata, minat terhadap logam berharga itu bukan sekadar kerana kecantikannya, sebaliknya turut dipengaruhi cara ibunya mendidik anak-anak tentang kepentingan menyimpan emas sejak kecil.
"Sebab emas ni sangat-sangat membantu kita. Saya sejak dari kecil pun, umi membesarkan kami (anak-anak) dengan emas. Jadi, bila perlukan duit, dia pajak. Bila ada duit, dia tebus balik.
"Dan dari situlah Yana belajar menyimpan untuk beli emas dan untuk kemudian hari," kongsinya.
Penampilan dengan emas kuning berkilauan curi perhatian

Sementara itu, penampilan Uyaina ketika mengendalikan lintas langsung majlis akad nikah Bella Astillah dan Syed Saddiq turut mencuri perhatian warga maya, khususnya aksesori emas yang digayakannya.
Warna emas yang menyerlah ketika dipadankan dengan busana putih membuatkan penampilannya menjadi antara perkara yang diperhatikan penonton ketika siaran langsung itu.
"Waktu itu saya pakai koleksi daripada Aurious Gold. Itu sebenarnya adalah kolaborasi saya dengan mereka. Tak sangka pula ia mendapat perhatian di media sosial.
"Mungkin sebab siaran langsung, orang terus nampak atau mungkin baju pula putih dan emas pula kuning berkilat-kilat.Alhamdulillah, saya seronok dan happy," kongsinya.
Daripada kisah Uyaina, kita belajar bahawa emas bukan sekadar kerana nilai semata-mata tetapi turut membawa kenangan tentang cara ibunya membesarkan keluarga.
Perkongsian ini menjadi pengajaran tentang pentingnya menyimpan demi masa depan, selain memupuk tabiat kewangan yang bijak sebagai persediaan menghadapi keperluan pada bila-bila masa.

