Sanggup Tangguh Pengajian Bagi Kejar Impian Jadi Penyanyi Antarabangsa, Zack Tabudlo Kini Digilai Di Nusantara 

Music
16 Mar 2023 • 4:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zack Tabudlo - Gambar Instagram Zack Tabudlo

Demi mengejar cita-cita bergelar artis, penyanyi kelahiran Filipina, Zack Tabudlo membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di sebuah universiti buat sementara waktu.

Jelas  artis yang menjadi kegilaan bukan setakat peminat di negaranya, bahkan seluruh Asia Tenggara ini, dia berbuat demikian kerana mahu memberikan fokus terhadap karier seni yang semakin berkembang.

image is not available
Zack Tabudlo

“Buat masa sekarang, saya ingin memberi fokus sepenuhnya kepada konsert jelajah saya di beberapa lokasi. 

“Saya memilih untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya seni terlebih dahulu dan saya ingin menjelajah ke banyak negara untuk hasil muzik ini.

“Kemudian saya akan menyambung semula pengajian saya dalam jurusan perfileman pada masa akan datang. Itulah perancangan saya sepanjang tahun ini,” kata penuntut jurusan komunikasi tahun kedua, kepada Getaran.

Berkongsi lanjut Zack berkata, dia dalam proses menghasilkan album baharu yang lebih berbeza daripada album-album sebelumnya.

“Saya kini sebenarnya dalam proses menghasilkan album baharu yang lebih tertumpu ke arah pasaran antarabangsa serta bawa angin baharu.

“Saya juga ingin karya saya ini lebih gah serta dinanti-nantikan oleh pendengar lagu saya. Dari aspek bunyinya, saya akan kembali kepada jenis muzik yang saya hasilkan awal-awal dulu iaitu hip hop dan pop. Seperti lagu-lagu Justin Bieber,” ujarnya.

Jelas pemilik nama sebenar, Zack Nimrod Tabudlo yang berusia 22 tahun ini, minat terhadap muzik itu muncul dengan sendirinya dan bakatnya digilap sedikit demi sedikit sejak kecil kerana dia sendiri datang daripada keluarga seni. 

Berjaya menambat peminat dengan lagu berjudul ‘Pano’ yang tular di TikTok, Zack berkata,  ibu bapanya pernah terbabit dalam lapangan itu sebelum ini.

image is not available

“Ibu saya adalah penyanyi hotel sebelum dia meninggal dunia ketika saya berusia sekitar enam tahun.

“Bapa saya pula pernah berada dalam kugiran sewaktu di kolej dan dia masih bantu menguruskan saya. Datuk dan nenek saya pun pernah menjadi penyanyi serta peminat tegar ‘The Beatles’.

“Jadi, minat dalam muzik ini muncul dengan sendiri, dan inspirasi ibu bapa saya menjadi antara pengaruh yang turut menyumbang dalam kerjaya muzik saya,” ujarnya yang mengakui amat meminati bidang pembikinan filem. 

Selain 'Pano', Zack juga berjaya menambat peminat dengan lagu-lagu hit termasuk ‘Binibini’, ‘Give Me Your Forever’, dan ‘As You Are’. Kini, dia adalah antara penyanyi muda Filipina yang semakin digilai seluruh dunia.

Baru-baru  ini Zack juga turut terbabit dalam menjayakan persembahan di acara Music In Universal anjuran Universal Music Malaysia, baru-baru ini. Dia berkongsi pentas dengan penyanyi tempatan Yonnyboii, Bella Astillah, dan Insomniacks pada acara itu.- Getaran, 16 Mac 2023