Santan-Food Empire jalin kerjasama keluarkan rangkaian produk siap diminum dalam pesawat AirAsia dan pasaran serantau

18/07/2025 - 12:45
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz (tengah) menyaksikan MoU antara Santan Food Services Sdn Bhd dan Empire International Sdn Bhd di Johor, baru-baru ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Julai – Capital A Berhad dan Food Empire Holdings memeterai kerjasama strategik untuk memperkenalkan siri produk sedia diminum, dimulakan dengan pelancaran produk kopi ais Vietnam yang bakal dipasarkan di rantau ini.
Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat masing-masing, iaitu Santan Food Services Sdn Bhd (di bawah Capital A) dan Empire International Sdn Bhd (di bawah Food Empire) yang berlangsung di Johor Bahru dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz baru-baru ini.
Ia dimulakan dengan pengeluaran awal kopi ais Vietnam yang boleh dinikmati dalam penerbangan AirAsia serta dipasarkan di bawah jenama Santan ke premis jualan runcit terpilih seluruh rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama ini mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan rantau ASEAN dari segi budaya dan cita rasa.
“Gabungan kepakaran global Food Empire dan wawasan serantau Santan berjaya mengeluarkan produk minuman dengan mengekalkan identiti warisan, inovasi dan aspirasi rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan
Kopi ais Vietnam itu mempunyai kandungan gula yang lebih rendah dan rasa asli yang memenuhi gaya hidup sihat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh pula berkata, pihaknya sentiasa komited dalam pemilihan makanan dan minuman berkualiti untuk memenuhi citarasa pengguna.
“Kami teruja bekerjasama dengan Food Empire untuk membawakan kopi ais Vietnam kepada lebih ramai pengguna, sama ada ketika dalam penerbangan atau di darat,” katanya.
Bagi Pengerusi Eksekutif Food Empire, Tan Wang Cheow pula, kerjasama itu adalah seiring dengan strategi syarikat untuk menyampaikan keseronokan pengalaman menikmati kopi Vietnam yang autentik kepada lebih ramai pelanggan.
“Kami yakin kerjasama ini akan menyerlahkan cita rasa ASEAN kepada dunia,” katanya.
Santan, cabang makanan dan minuman di bawah Capital A ditubuhkan pada 2015 dan kini memfokuskan kepada perkhidmatan katering dalam penerbangan, jualan runcit produk makanan sejuk beku dan minuman, serta katering korporat.
Santan turut merancang untuk berkembang ke Thailand, Indonesia dan Filipina serta menyediakan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan lain.
Food Empire pula ialah syarikat global FMCG yang berpangkalan di Singapura, dengan produk diedarkan ke lebih 60 negara dan memiliki jenama terkenal seperti MacCoffee, CaféPHỐ dan Kracks.
Food Empire turut tersenarai dalam senarai Fortune Southeast Asia 500 bagi 2025. - DagangNews.com
standard
