Sanusi harap generasi muda terus martabat warisan, seni pertahankan diri

LocalMovie
1 Jul 2026 • 10:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sanusi harap generasi muda terus martabat warisan, seni pertahankan diri
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) ketika hadir ke Tayangan Perdana Filem The Keris pada Selasa.

ALOR SETAR - Generasi muda diharap dapat memartabatkan sejarah dan persilatan Melayu seperti digarapkan menerusi filem The Keris, yang mengangkat semangat kepahlawanan sekali gus mempertahankannya sebagai warisan kebanggaan negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, filem yang turut mengetengahkan keris sebagai identiti budaya masyarakat Melayu itu lebih istimewa apabila diterbitkan dan diarahkan oleh penggiat seni berbangsa India.

“Saya bangga kerana penerbit dan pengarahnya serta kru terdiri daripada masyarakat India, namun seni yang diketengahkan adalah seni silat Melayu.

"Saya harap perkara ini menjadi permulaan yang baik untuk saling mengenali, menghormati dan hidup dalam suasana aman damai antara masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya ketika ditemui media selepas Tayangan Perdana Filem The Keris di sini pada Selasa.

Beliau juga berharap generasi muda dapat mengenali dan mempelajari sesuatu dari filem ini.

"Tiap-tiap bangsa ada seni, budaya, adat dan tradisi, salah satunya seni mempertahankan diri...macam silat, ada macam-macam, tadi kita tengok tu, silat gayong...silat cekak, silat pusaka, silat pulut, ada banyak lagi jenis silat," katanya. 

Muhammad Sanusi yang turut membuat penampilan khas dalam filem itu berkata, inisiatif pihak produksi menerbitkan naskhah yang memfokuskan kepada seni mempertahankan diri, wajar diberi penghargaan.

“Saya juga ada satu babak kemunculan khas dalam filem ini untuk mempromosikan seni bela diri yang cukup dikenali dan menjadi warisan adat serta tradisi kaum Melayu di Malaysia.

"Saya harap filem ini mendapat sambutan peminat filem tempatan," katanya.

Sementara itu, penerbit filem The Keris, Dr T Matheyalagan berkata, sepanjang pembikinan filem berkenaan, mereka melalui beberapa pengalaman berharga yang menyuntik semangat untuk terus berkarya.

Menurutnya, dalam masa sama mempelajari sesuatu yang baharu sepanjang pembikinan filem berkenaan khususnya membabitkan penggunaan keris dalam babak tertentu.

“Benda-benda yang berlaku ketika penggambaran itu benar-benar membuka mata kami tentang keunikan dan kepelbagaian sejarah yang ada di negara ini, secara tidak lansung kami melihat sendiri dengan mata kasar sedikit sebanyak ilmu dalam persilatan tersebut,” jelas beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved