
Sanusi Iringi Anak Ambil Keputusan SPM, Bangga Raih 10A
Hari ini merupakan hari yang sangat bermakna buat para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila segala usaha dan penat lelah terzahir menerusi keputusan yang telah diumumkan.
Salah seorang darinya ialah anak kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang telah mendapat keputusan cemerlang.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid di TikTok, anak perempuan Sanusi yang bersekolah di Maktab Mahmud Padang Terap itu memperoleh 10A dan 1B+.

Sanusi juga dilihat hadir ke sekolah untuk mengiringi anaknya menerima keputusan tersebut.
Malah, beliau sempat berseloroh dengan guru-guru ketika meneliti keputusan anaknya.
"Bahasa Inggeris ikut pak dia lah A+," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali turut dipaparkan di penghujung video. Beliau mengucapkan tahniah atas keputusan yang cemerlang itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut merasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada Sanusi dan anaknya.
Terdahulu, SPM 2025 menyaksikan pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024..
Sebanyak 366,435 calon atau 94.29 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.
Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran pula meningkat 3.55 peratus, iaitu daripada 13,827 calon pada 2024 kepada 13,779 calon pada 2025.
