Sanusi Mohon Ampun Kepada Sultan Selangor, Janji Akan Lebih Berhati-hati

LocalPolitics
26 Sep 2024 • 3:20 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengeluarkan satu surat permohonan ampun kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataan yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda.

Dalam surat tersebut, Sanusi mengakui bahawa kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau telah mengguris hati Sultan Selangor dan menyesali atas tindakan yang dilakukan.

“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang timbul daripada kenyataan patik tersebut.

“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku Sultan bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku Sultan yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini,” katanya.


Sanusi Berjanji Untuk Lebih Berhati-hati

Ujar Sanusi lagi, beliau menyedari bahawa perbuatan mengeluarkan kata-kata tidak beradab itu tidak sepatutnya dilakukan ketika berada di negeri lain.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihanraya,” ujar Sanusi.

Susulan kejadian itu, Sanusi dengan merendah diri memohon ampun kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atas keterlanjuran kata-kata.

Malah, beliau juga berjanji untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang ucapan.

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyatan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang kita sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Di akhir surat permohonan ampun itu, Sanusi turut menggelar dirinya sebagai ‘Patik pacal yang hina’ sebagai tanda merendah diri terhadap Sultan Sharafudin Idris Shah.

Sultan Selangor Sembah Maklum Dengan Surat Permohonan Maaf Dari Menteri Besar Kedah

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf dari Menteri Besar Kedah itu.

“Beliau turut mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut,” dalam kapsyen hantaran tersebut.

Apa Yang Berlaku Sebelum Ini?

Pada 11 Julai 2023 yang lalu, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Sanusi dalam ucapannya semasa memberikan ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor.

Dalam ceramah berkenaan, Sanusi telah membandingkan urusan pelantikan MB Selangor dan MB Kedah.

image is not available
Sumber: MalayMail

Susulan itu, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas telah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Kemudian pada 29 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut melibatkan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Source: