Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyindir Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh dengan menyatakan kesediaannya menjemput pemimpin itu untuk memberi ceramah kepada umat Islam mengenai larangan berjudi.
Menurut laporan FMT, sindiran itu dibuat selepas Ramkarpal menggesa Sanusi memberi tumpuan kepada usaha menghalang umat Islam daripada berjudi, berbanding mencari jalan untuk mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Sanusi menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk mengharamkan perjudian di Kedah tidak akan berubah.
“Sudah ada orang pun bagi peringatan kepada kita daripada DAP, jangan cari jalan (haramkan judi di Kedah).
“Betul, (nanti) panggil dia ceramah lepas ini. DAP ceramah dekat orang Islam jangan main judi,” katanya ketika berucap dalam sesi penjelasan isu ‘halangan pengharaman judi haram di Kedah’ anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA),” katanya.

Foto arkib
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk membatalkan keputusan yang menghalang pentadbiran negeri daripada enggan memperbaharui lesen pengendali pertaruhan dan loteri.
Sanusi berkata, keputusan berkaitan sama ada aktiviti perjudian boleh diteruskan di Kedah atau sebaliknya kini bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Menurutnya, sekiranya Anwar membenarkan aktiviti perjudian beroperasi di negeri itu, keputusan berkenaan berkemungkinan mengundang kemarahan rakyat Kedah.
“Maka bola berada di tangan menteri kewangan,” ujarnya.

Foto arkib
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud mendakwa tindakan sama seperti yang berlaku di Kedah kini cuba dicabar di Perlis.
Beliau mendakwa sekumpulan pihak telah memfailkan permohonan untuk mencabar arahan kerajaan negeri Perlis bagi menghentikan dan menutup premis perjudian.
“Apa yang dilalui oleh Kedah barangkali akan berjangkit selepas ini ke Perlis. Ini kerana saya dimaklumkan di Perlis, kumpulan judi ini sudah fail kes yang baru.
“Nak cabar macam di Kedah dan mereka akan pergi serang kepada negeri lain,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah pada Jun lalu menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan dasar membasmi aktiviti perjudian dengan mengekalkan penutupan operasi kedai judi.
Dasar itu diteruskan daripada pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli daripada PAS.
Perlis sebelum ini menutup premis perjudian secara berperingkat, termasuk cawangan nombor ramalan terakhir di Padang Besar yang ditutup pada awal Mac lalu.
Sumber: FMT (Mohamad Fadli)
