Sapura Energy diberi lanjutan sehingga akhir November ini bagi mengemukakan pelan penyusunan semula
azan
13/06/2023 - 16:28
KUALA LUMPUR 13 Jun - Sapura Energy Berhad diberikan lanjutan sehingga 30 November 2023, untuk menyerahkan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan bagi membolehkannya keluar daripada Nota Amalan 17 (PN17) atau kategori bermasalah kewangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penasihat utama Sapura MIDF Amanah Investment Bank Berhad mengumumkan bagi pihak kumpulan bahawa Bursa Malaysia telah memberikan lanjutan kepada Sapura melalui suratnya bertarikh 12 Jun 2023.
Sapura berkata, lanjutan masa itu sangat diperlukan memandangkan kerumitan pelan penyusunan semula keseluruhan syarikat.
"Usaha penstrukturan semula hutang Sapura Energy, yang menyokong strategi penyusunan semulanya, sedang berkembang dengan positif," katanya.
Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Malaya memberikan kumpulan itu dan 22 anak syarikat milik penuhnya tempoh lanjutan sehingga 10 Mac 2024, atas kedua-dua perintah bersidang dan sekatannya.
Perintah itu pada mulanya dikeluarkan pada 8 Mac dan ditetapkan untuk tamat tempoh pada 11 Jun.
Kumpulan itu berkata, lanjutan sembilan bulan itu perlu bagi membolehkan kumpulan memuktamadkan cadangan skim dengan pembiaya dan pemiutang lain, sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula hutang kumpulan untuk menyelesaikan hutang tidak mampan dan hutang tertunggak.
Bagi mengurangkan hutangnya, Sapura dan 22 anak syarikatnya telah bekerjasama dengan pemiutang utama dengan bantuan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) untuk menjadi pengantara dalam rundingan.
Skim penstrukturan semula yang dicadangkan akan merangkumi potensi pelaburan kewangan sebanyak RM1.8 bilion yang akan memajukan matlamat kumpulan untuk memelihara ekosistem industri.
“Mesyuarat yang diadakan oleh mahkamah dengan pemiutang dijangka diadakan pada penghujung Oktober 2023," kata kumpulan itu.
Dalam laporan awal bulan ini, Sapura berkata, mereka telah memperoleh sepuluh kontrak di seluruh wilayah Asia Pasifik dan Atlantik sejak Disember lalu dengan nilai gabungan RM1.4 bilion. - DagangNews.com

