Sapura Energy raih 10 kontrak bernilai RM1.4 bilion di seluruh Asia Pasifik dan Atlantik
diyana
09/06/2023 - 09:24
KUALA LUMPUR 9 Jun - Sapura Energy Bhd telah memperoleh 10 kontrak di seluruh rantau Asia Pasifik dan Atlantik antara Disember 2022 dan Mei 2023 yang bernilai RM1.4 bilion.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu berkata kontrak tersebut diraih oleh anak syarikat milik penuhnya dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C), penggerudian, serta operasi dan penyelenggaraan (O&M).
“Segmen perniagaan E&C memperoleh RM979 juta dalam kemenangan kontrak, penggerudian RM352 juta, dan O&M RM34 juta, dengan nilai gabungan kira-kira RM1.4 bilion.
"Lebih 70% daripada nilai kontrak gabungan adalah daripada projek di luar Malaysia," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Tambahnya, kemenangan itu membuktikan daya tahan Sapura Energy dan merupakan sebahagian daripada anjakan dalam strateginya untuk memberi tumpuan kepada kontrak dan wilayah di mana kumpulan mempunyai daya saing yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib berkata penggunaan beberapa asetnya ke wilayah baharu membolehkan kumpulan mendapat pelanggan baharu serta mengatasi batasan berikutan kekangan kewangan.
"Kami juga berterima kasih di atas perkongsian dipercayai terjalin dengan pelanggan baharu dan sedia ada, yang terus mencari penyelesaian kami untuk melaksanakan projek mereka," katanya.
Sapura Energy berkata peralihan dalam strategi itu membuahkan hasil awal dalam tahun kewangan 2023 (FY23) apabila kumpulan itu pulih daripada kerugian operasi RM2.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada keuntungan operasi RM751 juta pada FY23 walaupun modal pekerjaan terhad dan berhadapan cabaran makroekonomi.
Berdasarkan momentum positif yang dicapai tahun lalu, kumpulan itu berkata ia berazam untuk melanjutkan pemulihan dan terus meneroka peluang di Hemisfera Timur dan Barat sambil memaksimumkan aset dan keupayaan. -DagangNews.com


